[VIDEO] Jangan sampai orang utan pupus seperti badak sumbu Sumatera, atasi segera teroka hutan tak terkawal di Sabah


  • Massa
  • Khamis, 14 Nov 2024

Tangkap layar seekor orang utan yang dilihat berkeliaran di Lahad Datu pada Selasa.

PENDUDUK di Sabah menggesa kerajaan negeri dapat mengawal aktiviti pembukaan ladang dan penerokaan hutan berskala besar dapat dihentikan dengan segera bagi mengelakkan konflik hidupan haiwan liar dan manusia terus berlarutan.

Ia adalah susulan kemunculan orang utan yang berkeliaran di sekitar kawasan Pusat Penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Jalan Tengah Nipah di Lahad Datu pada Selasa.

Penemuan haiwan liar itu juga dikatakan berada hanya kira-kira 13 kilometer dari bandar Lahad Datu dan turut berjaya dirakam orang awam yang berada di lokasi kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Titik buta dipercayai punca penunggang maut digilis treler di Lebuh Raya Pasir Gudang

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita Peru histeria lihat rakan hilang nyawa dihempap mesin pemampat

Seorang pengguna warga maya, Joseph Macsimmus mendakwa kehadiran orang utan itu bukanlah kejadian yang pertama dan kali ini haiwan itu berjaya dirakam.

"Kalau tanya penduduk tempatan, ini bukan kali yang pertama mereka nampak kelibat orang utan itu sebenarnya.

"Kita sebagai manusia sepatutnya rasa bersalah kerana 'merampas' tempat tinggal mereka. Kerajaan, tolonglah berbuat sesuatu. Jangan sampai orang utan pupus di bumi Sabah," tulisnya.

Seorang lagi pengguna media sosial El Nobi, turut meluahkan perkara yang sama.

"Orang utan itu sebenarnya sudah tidak tahu untuk pergi ke mana lagi, semua hutan sudah habis ditebang untuk ladang kelapa sawit.

"Jangan sampai orang utan pun pupus seperti badak sumbu Sumatera, atasi segera penerokaan hutan tidak terkawal," tegasnya.

Sementara itu, MPOB melalui laman Facebook mereka menyatakan bahawa orang utan itu sedang berjalan dari pusat pemulihan mereka yang terletak di tengah-tengah pusat penyelidikan MPOB.

Untuk rekod, Pusat Pemulihan Orang Utan di bawah penyeliaan Unit Kelestarian, Perubahan Iklim dan Kebolehragaman Biologi MPOB telah dikembangkan bersama dengan Borneo Rhino Alliance (BORA) untuk tujuan penyelidikan dalam memelihara dan memulihara populasi spesies ini di habitat semula jadi mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram