[VIDEO] Pemandu Altis putih terlibat langgar lari sebelum rempuh 2 penunggang motor — Polis Kerian


  • 112
  • Khamis, 14 Nov 2024

Tangkap layar pembonceng dan penunggang motosikal sengaja dilanggar sebuah kenderaan berwarna putih di Batu Kurau pada Selasa.

PEMANDU kereta Toyota Corolla Altis berwarna putih yang melanggar sebuah motosikal dinaiki dua lelaki yang tular di laman media sosial sejak Rabu berjaya ditahan polis.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di Kuala Kurau, Perak pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, kejadian itu dikesan dimuat naik di X (Twitter) pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita Peru histeria lihat rakan hilang nyawa dihempap mesin pemampat

BACA LAGI: [VIDEO] Titik buta dipercayai punca penunggang maut digilis treler di Lebuh Raya Pasir Gudang

"Susulan dari kejadian itu, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada Selasa.

"Siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa berusia 37 tahun bersama rakannya berusia 40 tahun telah cuba menahan suspek kerana kenderaan itu dipercayai terlibat kemalangan dengan individu lain," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun menurutnya, semasa berada di jalan bawah Kuala Kurau, kereta itu bertindak menghimpit motosikal dinaiki mangsa dan terus melarikan diri.

"Susulan daripada laporan dibuat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian telah berjaya mengesan keberadaan suspek di sekitar Kuala Kurau dan terus membuat tangkapan.

"Turut dirampas sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis yang digunakan dalam kejadian tersebut," ujanrnya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan kejadian sebuah kereta seakan-akan sengaja melanggar sebuah motosikal dinaiki dua lelaki di sebuah jalan raya sebelum dia melarikan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram