
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merekodkan keterangan daripada empat lagi individu dalam siasatannya berhubung aliran tunai yang diterima pengasas platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sebelum ini sudah selesai merekodkan keterangan daripada 14 individu dan menambah bahawa siasatan masih diteruskan.
"Siasatan masih berjalan, dengan keterangan telah direkodkan setakat ini membabitkan 14 individu. Tambahan empat lagi (individu) dijangka akan diambil keterangan," katanya menurut laporan media tempatan.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
SPRM, ujarnya menyasarkan untuk menyelesaikan siasatan dalam tempoh dua minggu akan datang.
Media sebelum ini melaporkan bahawa siasatan dan proses merakam keterangan daripada pasangan suami isteri yang juga pengasas FashionValet sudah memasuki hari keenam pada Rabu.
SPRM turut membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat pasangan itu yang mengandungi kira-kira RM1.1 juta pada 6 November lepas.
Ini berikutan penemuan awal SPRM mengenai beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berkaitan kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram