PENGASAS jenama FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar kembali disoal siasat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merakam kenyataan berhubung kerugian RM43.9 juta melibatkan Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada Jumaat.
Pasangan suami isteri itu kelihatan tiba pada 9.13 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam dan bercermin gelap.
Ia juga merupakan siasatan keempat mereka di pejabat SPRM sejak Selasa bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
BACA LAGI: Skandal FashionValet: Vivy Yusof, suami mungkin dipanggil SPRM lagi pada Khamis
BACA LAGI: Skandal FashionValet: SPRM sita 11 beg tangan, jam jenama mewah hampir RM200,000
Vivy dan Fadza hadir di pejabat SPRM untuk hari keempat. — The Star
Difahamkan, mereka hadir bagi merakam kenyataan berkaitan dakwaan terdapat dokumen dan beberapa transaksi mencurigakan.
Mereka juga ditemani peguam, Shaarvin Raaj Selva Kumar.
Sebelum ini, SPRM melancarkan siasatan terhadap kerugian ditanggung Khazanah dan PNB daripada pelaburan mereka terhadap FashionValet yang merupakan jenama fesyen dalam talian.
Suruhanjaya itu juga sudah memanggil seramai empat saksi daripada PNB, Khazanah dan Kementerian Kewangan untuk direkod kenyataan masing-masing.
Pada Isnin, SPRM juga sudah melakukan serbuan ke atas beberapa premis, termasuk pejabat FashionValet dan menyita dokumen yang difahamkan berkaitan dengan siasatan.
Dalam jawapan bertulis Parlimen minggu lalu, Kementerian Kewangan menyatakan Khazanah dan PNB bertindak menjual saham mereka dalam platform perniagaan atas talian bernilai RM3.1 juta kepada NXBT Partners pada 2023. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram