Skandal FashionValet: Vivy Yusof, suami mungkin dipanggil SPRM lagi pada Khamis


  • Primer
  • Khamis, 07 Nov 2024

Vivy (kiri) dan Fadzaruddin memohon maaf atas kerugian pelaburan dialami FashionValet sebelum ini.

PENGASAS jenama FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dijangka akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi merekod kenyataan berhubung kerugian RM43.9 juta melibatkan Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd.

Pasangan itu pada Rabu kelihatan tiba di Ibu Pejabat SPRM di Presint 7, Putrajaya pada pukul 12.55 tengahari.

Pada kira-kira pukul 4.30 petang, mereka kemudiannya kelihatan meninggalkan perkarangan bersama beberapa individu lain yang difahamkan pegawai SPRM melihat kepada uniform dikenakan.

BACA LAGI: Bukan berniaga untuk kaya, sudah tiba masanya PNB dan Khazanah melabur produk Khairul Aming

BACA LAGI: Skandal FashionValet: SPRM sita 11 beg tangan, jam jenama mewah hampir RM200,000

Difahamkan, pihak siasatan SPRM akan memanggil pasangan suami isteri itu sekali lagi ke pejabat mereka bagi meneruskan sesi soal jawab.

Vivy dan Fadzaruddin pertama kali dipanggil ke pejabat SPRM pada Selasa dengan mereka dilaporkan menghabiskan tempoh beberapa jam bersama pihak siasatan.

BANGI, 6 Nov --  Kenderaan yang membawa pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.Proses mengambil keterangan pasangan pengasas perniagaan fesyen dalam talian tempatan tersebut disambung hari ini bagi membantu siasatan berhubung kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang berjumlah RM43.9 juta.--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Vivy dan suaminya sudah dipanggil SPRM bagi memberi siasatan sejak Isnin.

SPRM melancarkan siasatan terhadap kerugian ditanggung Khazanah dan PNB daripada pelaburan mereka terhadap FashionValet yang merupakan jenama fesyen dalam talian.

Suruhanjaya itu juga sudah memanggil seramai emapt saksi daripada PNB, Khazanah dan Kementerian Kewangan untuk merekod kenyataan masing-masing.

Pada Isnin, SPRM juga sudah melakukan serbuan ke atas beberapa premis, termasuk pejabat FashionValet dan menyita dokumen yang difahamkan berkaitan dengan siasatan.

Dalam jawapan bertulis Parlimen minggu lalu, Kementerian Kewangan menyatakan Khazanah dan PNB bertindak menjual saham mereka dalam platform perniagaan atas talian bernilai RM3.1 juta kepada NXBT Partners pada 2023.

Perkara itu jelas bercanggah dengan pelaburan RM47 juta dibuat Khazanah dan PNB kira-kira enam tahun lalu bagi memperolehi saham minoriti dalam FashionValet.

Vivy dan Fadzaruddin kemudiannya bertindak memohon maaf atas kerugian dialami sebelum mengambil keputusan melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif dalam syarikat itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram