[VIDEO] Skandal FashionValet: Siasatan SPRM kesan transaksi kewangan meragukan sejak 2018


  • 112
  • Khamis, 07 Nov 2024

Azam berkata, berdasarkan siasatan dijalankan setakat ini, transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan beberapa transaksi mencurigakan terhadap akaun yang disiasat berhubung kerugian berjumlah RM43.9 juta dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam pelaburannya terhadap FashionValet.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dijalankan setakat ini mendapati transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu.

BACA LAGI: Bukan berniaga untuk kaya, sudah tiba masanya PNB dan Khazanah melabur produk Khairul Aming

BACA LAGI: Skandal FashionValet: SPRM sita 11 beg tangan, jam jenama mewah hampir RM200,000

"Pasukan siasatan setakat ini merumuskan terdapat transaksi akaun meragukan daripada sebuah syarikat (dikaitkan dengan pasangan pengasas FashionValet) dan beberapa pihak lain yang disiasat.

"Kita juga berjaya mengesan beberapa transaksi kewangan mencurigakan. (Transaksi mencurigakan) ini bermula dari 2018 hingga 2023," katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, SPRM setakat ini sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.

Ujarnya, ketika ini, bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen diperoleh.

Vivy (kiri) dan Fadzaruddin hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sejak Rabu untuk memberikan keterangan.

Ujarnya, SPRM turut melihat kepada aliran punca kewangan dan sebab kemasukan dan arah tuju perbelanjaan bagi melihat kemungkinan wujudya unsur jenayah rasuah atau kesalahan lain membabitkan penipuan.

"Namun, kita percaya ada sebahagian pelaburan (diterima) yang disalah guna dalam hal ini, ini kita sedang kenal pasti," katanya.

Beliau berkata, SPRM kini dalam peringkat mengesan barangan milik pasangan pengasas FashionValet yang pernah ditunjukkan dalam media sosial sebelum ini.

"Mereka perlu memberi kerjasama bagi mengenal pasti barangan yang ditunjukkan sebelum ini dalam media sosial," katanya.

Sementara itu, Azam berkata, pihaknya tidak memiliki perancangan untuk menahan pasangan itu memandangkan kedua-duanya memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

Terdahulu, pasangan pengasas platform e-dagang itu, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk memberikan keterangan.

Pada Rabu, SPRM turut menyerbu kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.

SPRM juga membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram