SPRM teliti, siasat aliran tunai diterima pasangan pengasas FashionValet


  • 112
  • Isnin, 11 Nov 2024

Terdapat kemungkinan Vivy (kiri) dan Fadzaruddin akan dipanggil sekali lagi untuk memberi keterangan kepada SPRM.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melakukan siasatan terhadap aliran wang diterima pasangan yang juga pengasas FashionValet Sdn Bhd, Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan kehadiran pasangan suami isteri itu di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada Isnin untuk memberi keterangan.

Jelas beliau, pihaknya sedang dalam proses untuk mendapatkan penjelasan mengenai kaedah penerimaan dan pelaburan dana diterima daripada Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

BACA LAGI: Khazanah, PNB beri penjelasan penjualan saham FashionValet

BACA LAGI: Skandal FashionValet: SPRM sita 11 beg tangan, jam jenama mewah hampir RM200,000

The Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) chief commissioner Tan Sri Azam Baki said the anti-graft body would be calling witnesses as part of its investigation on the LCS scandal. — THOMAS YONG/The Star

Azam mengesahkan siasatan berjalan lancar dengan kesemua saksi memberi kerjasama yang baik.

"Siasatan sedang dijalankan dan semakan sudah dimulakan terhadap pasangan mengenai jumlah wang (pelaburan) diterima daripada Khazanah dan PNB," kata beliau pada Isnin.

Azam turut menegaskan pihaknya sudah mengambil keterangan daripada sembilan orang saksi, termasuk Vivy dan Fadzaruddin bagi melengkapkan siasatan.

"Saya tidak menafikan bahawa esok (Selasa) atau lusa mereka akan dipanggil semula kerana siasatan sedang berterusan," kata beliau sambil menegaskan tiada penangkapan dibuat selain kesemua saksi memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

Terdahulu, kelihatan sebuah kenderaan membawa pasangan itu tiba di ibu pejabat SPRM pada 2.30 petang, namun tiada pergerakan keluar direkodkan setakat pukul 8 malam.

Ini merupakan hari kelima SPRM menjalankan siasatan dengan merekodkan kenyataan daripada pasangan tersebut selepas mereka menemui beberapa transaksi mencurigakan dikaitkan dengan kerugian RM43.9 juta daripada pelaburan Khazanah dan PNB terhadap FashionValet.

Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata, siasatan SPRM kini tertumpu kepada mengenal pasti aset dan pemilikan serta sumber kewangan yang diperoleh pengasas FashionValet.

Media turut melaporkan kira-kira 60 kotak mengandungi dokumen kewangan dirampas daripada FashionValet, Khazanah, dan PNB Khamis lalu perlu diteliti secara menyeluruh, terutamanya berkaitan perjanjian antara ketiga-tiga pihak. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram