Disyaki jual video lucah sendiri di platform X, SKMM ambil keterangan pelajar lelaki IPTA


  • Primer
  • Khamis, 14 Nov 2024

Siasatan SKMM menunjukkan kegiatan suspek bermula pada 2021 dengan memuat naik semula kandungan lucah sedia ada yang dikongsi pengguna lain di platform sama.

SEORANG pelajar lelaki daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) disyaki menjual video lucah dirinya sendiri pada harga RM150 di platform X dan memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

Menurut laporan media tempatan, siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan kegiatan suspek bermula pada 2021 dengan memuat naik semula kandungan eksplisit sedia ada yang dikongsi pengguna lain di platform sama.

Menurut SKMM, modus operandi suspek kemudiannya beralih kepada memuat naik dan menjual video lucah sendiri dengan wanita dikenalinya dan mengumpul lebih 100,000 pengikut di platform itu.

BACA LAGI : [VIDEO] Wanita Peru histeria lihat rakan hilang nyawa dihempap mesin pemampat

BACA LAGI : [VIDEO] Titik buta dipercayai punca penunggang maut digilis treler di Lebuh Raya Pasir Gudang

“Suspek menjadikan penjualan video lucah terbabit sebagai sumber pendapatan, dengan pendapatan bulanan mencecah RM3,000 pada anggaran harga RM150 setiap video,” kata SKMM dalam satu kenyataan pada Khamis.

SKMM berkata, suspek sudah dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Hasil pemeriksaan di sebuah premis di Shah Alam, pasukan penguat kuasa SKMM merampas telefon bimbit dan kad SIM dipercayai milik suspek dan digunakan untuk memuat naik kandungan itu sebagai sebahagian daripada siasatan.

“Kenyataan turut diambil daripada rakan suspek, seorang wanita yang juga penuntut institut pengajian tinggi swasta,” kata suruhanjaya itu.

Perbuatan menjual video lucah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), mengingatkan SKMM.

"Jika sabit kesalahan, suspek berdepan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram