MAJLIS Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan merobohkan struktur binaan sambungan dapur haram yang dilakukan di restoran.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, pengusaha restoran akan diberi notis sebulan sebelum bertindak sedemikian.
Norfiza berkata, terdapat restoran yang mengabaikan peraturan bangunan dan membina sinki konkrit kekal, longkang bertutup serta manyambung dinding dapur hingga ke lorong belakang.
BACA LAGI: Kes tikam Pulau Pinang: Siti Zulaila rupanya masih ada suami yang sah
Pemilik restoran dilarang membuat sambungan dapur sehingga mengganggu kerja-kerja pembersihan. — The Star
Katanya, notis akan dikeluarkan dan tindakan akan diambil di bawah Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
"Mana-mana struktur tidak diluluskan dan belum diubah selepas notis tamat akan dirobohkan. Pemilik restoran juga perlu membayar kos perobohan dan pembersihan serpihan.
"Disebabkan struktur ini, pekerja tidak dapat melakukan kerja pembersihan secara berkala sehingga menyebabkan longkang tersumbat.
"Selain merosakkan longkang, sambungan haram itu juga merosakkan jalan kerana kotoran, minyak dan gris (FOG) boleh melarutkan pengikat asfalt," katanya.
Tambahnya, kebanyakan lorong belakang di kawasan komersial Klang rosak akibat daripada percikan FOG ke jalan raya.
MBDK pada masa sama akan mengeluarkan notis kepada premis makanan di Lorong Tingkat off Jalan Istana, Bandar Bukit Tinggi 1 dan 2, Taman Bayu Perdana, Persiaran Raja Muda Musa, Bandar Bukit Raja dan Bandar Baru Klang, Selangor.
"Premis makanan yang didapati membuang sisa terus ke dalam longkang juga akan dikenakan kompaun dan denda maksimum RM1,000.
"Mereka melakukan kesalahan kerana premis makanan dikehendaki memasang perangkap gris seperti yang ditetapkan dalam keperluan lesen MBDK," jelasnya.
Norfiza berkata, Jabatan Perkhidmatan Alam Sekitar MBDK sudah memeriksa 5,038 kedai makan dari Januari hingga Oktober lalu dan sebanyak 209 telah kompaun dikeluarkan kerana terdapat kesalahan membuang sisa terus ke longkang.
"Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar majlis kami juga memeriksa 2,566 kedai makan dari Januari hingga September lalu serta 17 daripadanya ditutup manakala 215 diberi notis kerana pekerja mereka sama ada tidak diberi vaksin demam kepialu, tidak berpakaian sesuai dan atas faktor kebersihan,” katanya sambil menambah bahawa sebanyak 272 kompaun dikenakan bagi kesalahan tidak menjaga kebersihan. — The Star/EDWARD RAJENDRA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram