SEORANG pekerja kilang berusia 32 tahun didakwa atas tuduhan membunuh seorang bapa dan anak perempuan di George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.
Muhammad Farhan Izzuddin Rosman, yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang kerana mencederakan diri sendiri menyatakan dia memahami pertuduhan itu yang dibacakan kepadanya di wad di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi pada Rabu.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh Zulkifli Ibrahim, 62, di hadapan lif pangsapuri di Jalan Lengkok Angsana, Air Itam, George Town antara pukul 12.54 tengah hari dan 1.25 tengah hari pada 7 November lalu.
BACA LAGI: Tun Daim meninggal dunia di Hospital Assunta PJ
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Pertuduhan kedua pula mendakwa dia kemudian membunuh Siti Zulaila Zulkifli, 30, pada tarikh sama, di lokasi dan masa yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Farhan tidak diwakili dan tiada pengakuan direkodkan kerana kes pembunuhan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa membunuh pasangan ayah dan anak itu di hadapan lif pangsapuri di Jalan Lengkok Angsana, Air Itam, George Town antara pukul 12.54 tengah hari dan 1.25 tengah hari pada 7 November lalu.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini.
Nadratun kemudian menetapkan 15 Januari depan untuk sebutan kes.
Pada 7 November lalu, seorang lelaki dikejarkan ke hospital selepas ditemui dengan pelbagai kesan tikaman dan luka di tingkat bawah sebuah apartmen di Air Itam.
Zulkifli dan Siti Zulaila ditemui mati di tempat kejadian.
Siti Zulaila bekerja di sebuah kedai perkakasan sementara bapanya pula bekerja sebagai seorang pemandu.
Polis mengesahkan bahawa motif pembunuhan itu berpunca akibat cinta ditolak.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai perasaan terhadap Siti Zulaila.
“Suspek mengenali mangsa sejak tahun lalu dan memupuk perasaan terhadapnya, namun mangsa tidak berminat dengannya.
“Berang dengan penolakan itu, suspek dilaporkan mengugut untuk membunuh keluarga mangsa di kediaman mereka sebelum kejadian,” katanya. — The Star/N. TRISHA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram