SEORANG lelaki yang mempunyai masalah mental disyaki membunuh ibunya di sebuah pangsapuri di Relau, George Town, Pulau Pinang pada Sabtu.
Wanita warga emas itu ditemui mati selepas ahli keluarga suspek menghubungi pihak polis.
Menurut laporan Malaysia Gazette, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek yang juga anak bongsu itu dikatakan menelefon dan memaklumkan sendiri kejadian kepada abangnya kira-kira 5 petang, sebelum lelaki itu menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
BACA LAGI: Saifuddin saran keluarga Zayn Rayyan buat laporan polis jika rasa terancam
BACA LAGI: Mayat pelajar lelaki ditemui terapung dekat Jambatan Cinta tasik Unimas
Jelas beliau, susulan itu, pasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan memberkas suspek berusia 40 tahun di unit kediaman terbabit.
"Hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian anak sulung dan kedua menelefon mangsa berusia 67 tahun itu namun panggilan tersebut tidak dijawab sebelum dikejutkan dengan panggilan ibu mereka mati akibat ditikam menggunakan gunting oleh suspek.
"Mangsa yang dikatakan hanya akan datang ke rumah peninggalan suaminya itu tiga hari seminggu bermula Jumaat manakala baki hari tinggal bersama anak sulungnya di Batu Maung, Pulau Pinang.
"Suspek pernah membuat ugutan bunuh terhadap semua ahli keluarganya ketika mereka tinggal bersama di Batu Maung selain pernah dimasukkan ke wad rawatan psikiatri di Jalan Perak, Pulau Pinang tahun lalu,” katanya.
Tambah Razlam, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat,” jelasnya.
Pihak polis kemudiannya mereman suspek selama tujuh hari untuk membantu siasatan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram