SUAMI wanita yang maut ditikam seorang lelaki di hadapan lif sebuah pangsapuri di Pulau Pinang pada Rabu lalu menafikan dakwaan mengatakan mereka sudah berpisah.
Mohamad Shazwan Hafizi Badrul Kamal berusia 30-an berkata, dakwaan arwah isterinya, Siti Zulaila Zulkifli, 30, sudah bercerai adalah tidak benar.
"Dakwaan kami berpisah adalah tidak benar. Memang menyakitkan hati apabila orang ramai menyebarkan fitnah sebegitu terhadap arwah isteri saya.
"Saya sedih dengan kejadian ini, ditambah pula dengan dakwaan yang tidak sepatutnya. Ia memberi kesan kepada kami sekeluarga," katanya.
BACA LAGI: Ayah dan anak maut kena tikam di P. Pinang lepas tolak lamaran
BACA LAGI: Sempat terima panggilan sebelum 2 beranak maut kena tikam di P.Pinang lepas tolak lamaran
Mohamad Shazwan berkata, pihaknya berharap suspek dikenakan hukuman setimpal atas kesalahan membunuh isteri dan bapa mentuanya.
Sebelum ini, Siti Zulaila dan ayahnya, Zulkifli Ibrahim, 62 dilaporkan maut akibat ditikam di sebuah pangsapuri di Ayer Itam, George Town, Pulau Pinang pada Rabu.
Kejadian berlaku dipercayai selepas mangsa menolak lamaran seorang lelaki.
Susulan daripada kejadian tersebut, suspek yang berusia 32 tahun dilaporkan bertindak menikam dirinya di luar lif pangsapuri terbabit.
Suspek yang kini berada dalam keadaan stabil sudah direman selama tujuh hari dan akan berakhir pada 14 November nanti.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — The Star/N.TRISHA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram