DUA pesawah dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan, Kedah terpilih mengikuti Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Baku, Azerbaijan pada 17 hingga 20 November.
Pesawah, Abdullah Mohamad, 58, dan Keria Saad, 60 diberi peluang melalui inisiatif syarikat bioteknologi Free The Seed Sdn Bhd yang berstatus MOSTI BioNexus.
Ketua Pegawai Eksekutif Free The Seed, P. Ramaness berkata, penajaan itu adalah sebagai penghargaan kepada golongan pesawah yang dianggap memainkan peranan amat penting untuk memelihara kelestarian alam.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Persiapan perjalanan dua pesawah dari Kedah ke Azerbaijan.
Menurutnya, konvensyen tersebut akan melibatkan lebih 150 negara dan pengunjung antara 80,000 hingga 100,000 orang membabitkan pelbagai pihak antaranya ketua-ketua kerajaan, pemimpin industri, aktivis alam sekitar serta masyarakat peribumi.
"Pada tahun lalu di Dubai, kehadiran pengunjung ke konvensyen itu adalah seramai 85,000 orang," katanya dalam sidang media di kilang syarikat Free The Seed pada Rabu.
Peluang itu memberi kedua-dua pesawah untuk berkongsi pengetahuan serta pengalamannya dalam konvensyen berkenaan, berkaitan isu iklim, kitaran ekonomi serta subjek berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Difahamkan Abdullah dan Keria juga berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan mendapatkan idea baru untuk dikongsi di Malaysia terutama dalam bidang pertanian yang menyumbang kepada pemanasan global.
"Di konvensyen itu, pelbagai pameran dan syarahan oleh pakar dari seluruh dunia akan diadakan, memberi peluang kepada kedua-dua pesawah untuk memperoleh idea dan ilmu baru yang boleh dikongsi di Malaysia," katanya.
Penajaan itu adalah sebagai penghargaan kepada golongan pesawah yang dianggap memainkan peranan amat penting untuk memelihara kelestarian alam.
P. Ramaness berkata, beliau sudah lebih lima kali menghadiri konvensyen tersebut dan selalu berhasrat untuk membawa petani negara yang dianggap penting dalam menjaga kelestarian alam.
Beliau juga menekankan peranan penting golongan petani dalam mengurangkan pemanasan global terutamanya dalam pengurusan sisa pertanian.
Oleh itu, beliau memohon kepada penganjur untuk membenarkan sekurang-kurangnya dua pesawah Malaysia hadir dan permintaan itu diluluskan lalu sepenuhnya menaja perbelanjaan Abdullah dan Keria.
Abdullah, yang juga Pengerusi PPK Pendang Selatan, menganggap kerjasama dengan Free The Seed dalam menggunakan jerami padi untuk produk biodegrasi memberi manfaat kepada pertanian dan alam sekitar.
"Kerjasama ini tidak hanya meningkatkan pendapatan petani, tetapi juga memberi kesan positif kepada alam sekitar," katanya.
Abdullah berharap dapat mempelajari inisiatif lain dari negara lain yang boleh diterapkan di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram