Kartina ukir sejarah di Gunung Kinabalu, berjaya selesaikan pendakian, terbitkan 9 aplikasi pada ketinggian 4,095 Meter


Kartina (tengah) bersama anak didiknya berjaya membuat pendakian kali ke sembilan dan menerbitkan aplikasi mudah alih di puncak Gunung Kinabalu.

PENGAJAR aplikasi mudah alih yang juga seorang ibu tunggal, Kartina Abdul Ghani, 53, berjaya menamatkan misi pendakian sembilan kali ke puncak gunung Kinabalu, Sabah selain menerbitkan aplikasi mudah alih di puncak tertinggi itu pagi Selasa.

Dalam satu kenyataannya pada Selasa, Kartina berjaya menjejakkan kakinya ke puncak tertinggi Low’s Peak dan seterusnya menerbitkan baki dua lagi alikasi mudah alih terakhir dalam satu ekspedisi pada pukul 6.57 pagi.

Difahamkan kejayaan itu berjaya direalisasikan bersama-sama dua anak didiknya dalam pembikinan aplikasi mudah alih, Haziqah Halim, 22, dan Muhammad Hafiz Zainal, 20, bersama dua malim gunung, Jimmy Midin, 50, dan Romeo Jaomius, 28.

BACA LAGI: Kelab pertama bakal miliki hospital sendiri jana pendapatan, DSAT Group terus 'up' tawaran jika miliki Kedah

BACA LAGI:Tiga puncak baharu dibuka di Gunung Kinabalu, Kartina hasilkan 5 lagi aplikasi 'rahsia'

IMG_2583

Kartina (tengah) berjaya menjejakkan kakinya ke puncak tertinggi Low’s Peak dan seterusnya menerbitkan baki dua lagi alikasi mudah alih terakhir dalam satu ekspedisi.

Kejayaan luar biasa yang dilakar Kartina itu dilakukan dalam tempoh kurang dari sebulan di dalam satu ekspedisi sejak tiba kali pertama ke puncak setinggi 4,095 meter itu pada 16 Oktober lalu menurut kenyataan.

Penaklukan ke sembilan kali di puncak itu menandakan Kertina berjaya menerbitkan sebanyak sembilan aplikasi mudah alih termasuk, Mari Melawat Sabah, Pergunungan Sabah, Masakan Sabah, Mengenai Sabah, Ucapan Selamat dan Latar Belakang Telefon Sabah, Ensiklopedia Hidupan Liar Sabah, Kalendar dan Perayaan Sabah, Melawat Malaysia dan Sejarah Malaysia ke laman pengedaran digital Google Play dan Apple App.

”Saya rasa sangat bersyukur hari ini selepas berjaya buat kali kesembilan menjejakkan kaki ke puncak tertinggi di Malaysia tahun ini selain turut berjaya menerbitkan baki dua aplikasi mudah alih di puncak.

“Dengan keadaan cuaca yang baik dan terang, Alhamdulillah saya tidak mendapat halangan yang besar untuk sampai ke puncak selain dapat menerbitkan baki aplikasi dengan lancar,” katanya.

Kartina, pengasas yang juga tenaga pengajar di Akademi Apps Master Builder (Akademi AMB), telah memulakan pendakian pertamanya pada 15 Oktober lalu dan bakal meneruskan ekspedisi seterusunya ke puncak Everest pula pada Mac atau Mei 2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram