Sayangnya bukan Malaysia, 2 negara dijangka mula benarkan kereta terbang menjelang 2026


  • Bizz
  • Isnin, 11 Nov 2024

Shenzhen sedang dalam proses membangunkan infrastruktur ekonomi altitud rendah bagi tempoh dua tahun akan datang.

INDUSTRI teknologi kereta dan teksi terbang dilaporkan sedang mengalami perkembangan pesat di seluruh dunia dengan pelbagai syarikat dan negara berusaha merealisasikan konsep mobiliti udara bandar atau Urban Air Mobility (UAM).

Kereta terbang, atau kenderaan berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL), merupakan kenderaan yang menggabungkan ciri kereta dan pesawat.

Di Malaysia, terdapat juga usaha untuk membangunkan teknologi ini.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Pada 2019, Menteri Pembangunan Usahawan ketika itu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, menyatakan bahawa prototaip kereta terbang pertama negara telah mencapai 85 peratus siap dan dijangka dilancarkan pada akhir tahun tersebut.

Bagaimanapun, masih tiada perkembangan terbaharu mengenai projek tersebut selepas hampir lima tahun ia dilaporkan.

Dalam pada itu, di China, pemerintah bandar raya Shenzhen mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelaburan sebanyak 12 bilion yuan (AS$1.7 bilion atau RM7.48 bilion) dalam usahanya bagi membangunkan infrastruktur ekonomi altitud rendah bagi tempoh dua tahun akan datang.

6150022997981905020

Rangkaian pengangkutan udara baharu itu bakal membolehkan perkhidmatan perjalanan udara, logistik, penghantaran komuniti dan tadbir urus bandar. — Agensi

Langkah itu dilihat selari dengan matlamat utamanya bagi menjadi peneraju terhadap perkhidmatan teksi terbang dan dron penghantaran.

Menurut Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Shenzhen, bandar raya itu menyasarkan bagi membina lebih 1,200 platform berlepas dan mendarat menjelang 2026, sekali gus mewujudkan rangkaian baharu bagi membolehkan perkhidmatan perjalanan udara, logistik, penghantaran komuniti dan tadbir urus bandar.

Setakat pertengahan tahun ini, Shenzhen sudah memiliki 249 kemudahan berlepas dan mendarat menjelang pertengahan tahun ini dan menyasarkan untuk menambah 147 lagi menjelang akhir tahun ini.

Menerusi laporan dikeluarkan biro pengangkutan bandar raya terbabit, ia merancang untuk menyiapkan pembinaan baki 658 lagi kemudahan tersebut pada 2025.

Dalam pada itu, Shenzhen dilaporkan akan membina lebih 8,000 stesen pangkalan 5G-Advanced baharu untuk meningkatkan liputan rangkaian tanpa wayar ruang udara di bawah altitud 600 meter dan melancarkan Sistem Ruang Udara Bawah Bersepadu Pintar, yang disifatkan sebagai "otak atau tulang belakang terhadap mod pengangkutan berkenaan".

Projek itu dijangka selesai menjelang akhir tahun ini, ujar laporan sama.

Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Shenzhen terbabit berkata, ekonomi altitud rendah dijangka turut menerima pelaburan tambahan sebanyak 20 bilion bagi tempoh antara 2026 dan 2030.

Ekonomi altitud rendah merujuk kepada aktiviti kenderaan di ruang udara di bawah 1,000 meter.

Sesetengah pemerhati menyifatkan ia sebagai pemacu baharu berpotensi dalam ekonomi China yang sedang mengejar pertumbuhan berkualiti tinggi, dengan bandar seperti Shenzhen, Beijing dan Shanghai turut mengumumkan pelaksanaan dasar sokongan.

65e6882da31082fc2b69b115

Bandar raya itu menyasarkan bagi membina lebih 1,200 platform berlepas dan mendarat menjelang 2026. — Agensi

Kerajaan Shenzhen menjadi antara bandar memiliki cita-cita tinggi di dalam ekonomi mereka dengan ia juga memperkenalkan peraturan pertama di republik itu untuk ekonomi altitud rendah, yang berkuat kuasa pada Februari lalu selepas memasukkan industri terbabit dalam rancangan kerja kerajaan pada tahun lalu.

Bandar hab teknologi itu juga merupakan ibu pejabat kepada pembuat dron pengguna terbesar dunia DJI, dan ia telah menarik pemain industri domestik utama lain termasuk pembuat teksi terbang autonomi, Ehang, syarikat penghantaran makanan gergasi, Meituan dan pembuat kereta elektrik, Xpeng yang semuanya sedang menguji teknologi terkini mereka di Shenzhen.

Meituan sebelum ini melancarkan beberapa laluan penghantaran makanan dron di taman Shenzhen, kawasan komersial dan pelabuhan imigresen yang menjadi pintu masuk ke negara jiran, Hong Kong.

Xpeng juga melaksanakan percubaan penerbangan untuk kereta terbang autonominya pada Mei lalu.

Lebih daripada 1,500 syarikat berkaitan dron kini menjadikan Shenzhen sebagai lokasinya berpangkalan dengan penggiat ekonomi industri tersebut dijangka menghasilkan nilai melebihi 100 bilion yuan menjelang 2025, menurut data kerajaan.

Aktiviti ruang udara lebih rendah juga merupakan dilihat menjadi kunci kepada kerjasama di kawasan ekonomi dikenali sebagai Greater Bay Area – rancangan Beijing menghubungkan Hong Kong dan Macau dengan sembilan bandar Guangdong – untuk memudahkan pengangkutan rentas sempadan dan meneroka peluang ekonomi baharu.

Dalam pada itu, di Hong Kong, syarikat dikenali sebagai Kwoon Chung Smart Mobility mengumumkan sasarannya untuk menyediakan perkhidmatan pelancongan mewah di udara bandar raya tersebut dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Dalam satu temu bual, pengarah urusannya, Rex Wong Yat-hung berkata, syarikatnya ketika ini sudah membuat tempahan permulaan sebanyak 30 dron penumpang berharga lebih HK$70 juta (AS$9 juta atau RM39.67 juta) untuk tujuan tersebut.

6150022997981905012 (1)

Kwoon Chung Smart Mobility membuat tempahan permulaan sebanyak 30 dron penumpang untuk operasi pelancongan di ruang udara Hong Kong. — Agensi

Ujarnya, menerusi kenderaan berkenaan, mereka menyasarkan untuk menyediakan lawatan selama kira-kira 30 minit melalui pesawat tanpa juruterbang di sekitar Hong Kong di kawasan seperti Disneyland, Ocean Park, Cyberport, Pulau Lantau dan Sai Kung.

“Armada kenderaan kami yang terbang tanpa pemandu boleh terbang pada bila-bila masa tidak lama lagi untuk memudahkan usaha kerajaan membangunkan ekonomi altitud rendah.

“Kami masih berbincang dengan kerajaan untuk operasi di Hong Kong, dan semuanya bergantung pada bila ia akan memperkenalkan rangka kerja kawal selia.

"Kami berharap akan ada undang-undang yang berkaitan tidak lama lagi, dan kami boleh melancarkan perkhidmatan ini dalam masa tiga tahun,” katanya.

Pada masa sama, Wong mendedahkan hotel The Peninsula Hong Kong di Tsim Sha Tsui, yang mempunyai pad pendaratan di atas bumbungnya menawarkan tetamu lawatan helikopter selama 18 minit ke bahagian selatan bandar itu turut melahirkan minat memperkenalkan dron penumpang syarikat terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram