PADA 2016, dua orang rakan Eugene Tan and Mark Chew Yihaur melancarkan aplikasi, Carput yang menyediakan perkhidmatan bantuan pembaikan dan penyelenggaraan terhadap kenderaan yang mengalami masalah kerosakan di tepi jalan.
Aplikasi diasaskan di bawah syarikat The Battery Shop itu merupakan antara perintis kepada penyediaan perkhidmatan sedemikian di dalam negara.
Dengan menggunakan aplikasi tersebut, pengguna akan dihubungkan dengan mekanik yang akan hadir ke lokasi untuk memberikan bantuan bagi menyelesaikan masalah mereka.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Bermula dari situ, mereka mempunyai operasi di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak turut memperkembangkan perkhidmatannya termasuk penghantaran bateri, proses menghidupkan kenderaan, penggantian tayar pancit, penghantaran petrol dan perkhidmatan tunda ke bengkel.
Dalam pada itu, yang terbaharu, Carput yang berpangkalan di Bandar Sunway, Petaling Jaya, juga mula terlibat dalam industri kenderaan elektrik (EV) sebagai penyedia stesen pengecas EV.
Pengarah Urusan Carput, Faiz Yaacob.
Ikuti temu bual Majoriti bersama Pengarah Urusan Carput, Faiz Yaacob mengenai penglibatan syarikat terbabit dalam industri EV.
Boleh ceritakan mengenai perkembangan terbaharu perkhidmatan disediakan Carput?
Carput bermula pada 2014. Kepakaran yang dimiliki kami secara asasnya adalah penyelenggaraan kenderaan di tepi jalan, bantuan kerosakan dan juga pertukaran bateri. Jadi Carput bertitik tolak dari situ.
Tapi ketika PKP, kereta tak banyak dikeluarkan selama setahun setengah. Jadi waktu itu, perniagaan kami agak terjejas teruk sebab perkhidmatan yang ditawarkan adalah membantu orang menghadapi masalah kereta rosak. Bila kurang orang guna kereta, operasi kami terjejas.
Masa itu daripada segi pendapatan walaupun masih kekal mapan, tapi sukar untuk berkembang.
Kemudian pada masa itu, pada 2020 EV pun baru bermula. Dunia berubah daripada hibrid ke sepenuhnya EV. Kami melihat perkara itu sebagai peluang.
Jadi pengasas Carput, Eugene timbulkan idea untuk kita cuba memenuhi segmen keperluan EV atau industri automotif secara umumnya.
Bermula dari situ, kita mula terlibat dengan industri EV melalui kepakaran untuk rundingan, pemasangan dan operasi stesen EV. Kami melakukannya dari A ke Z termasuk pemasangan di rumah.
Alhamdulillah, setakat ini kita ada lebih 100 stesen pengecas EV awam dan lebih 1,000 pemasangan peribadi di rumah. Kita juga dilantik sebagai kontraktor bagi pemasang Tesla Wall Connector.
Tapi jumlah 100 stesen EV ini bukan satu bilangan yang besar. Ada syarikat lain seperti Gentari ada antara 500 hingga 600 stesen pengecas. Beberapa syarikat lain juga ada jumlah yang lebih daripada yang dimiliki kami.
Bagaimana Carput menguruskan proses peralihan dan pembinaan kapasiti syarikat daripada perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan kepada penyedia stesen pengecas EV?
Carput kini mempunyai lebih 100 stesen pengecas EV.
Ia secara asasnya tidak jauh berbeza. Sebelum ini, kami bergantung kepada juruteknik kami. Sekarang pun sama. Kita gunakan kepakaran juruteknik, jurutera dan pakar pengecasan yang beroperasi secara 'in-house'.
Mungkin kalau keperluan itu terlalu banyak, baru kita cari cara untuk dapatkan khidmat kepakaran luar cumanya, itu pun akan dipantau oleh jurutera kami.
Jadi ia hanya sekadar perubahan daripada apa yang kita buat. Daripada bantuan penyelenggaraan seperti ganti bateri misalnya, tapi sekarang kita akan menuju ke pemasangan stesen pengecas EV.
Bagaimanakah Carput menangani persaingan yang wujud khususnya daripada pemain sedia ada di dalam industri EV lebih-lebih lagi bagi penyedia perkhidmatan pengecas?
Kalau kita tengok ada beberapa syarikat utama seperti Gentari yang diasaskan Petronas dan Electron yang dimiliki oleh TNB.
Bagaimanapun, bagi kami persaingan itu adalah sesuatu yang baik dan bagus untuk negara.
Bila ada banyak pemain, ini akan menyebabkan pembinaan infrastruktur itu lebih cepat. Dengan lebih banyak syarikat terlibat, ia akan membantu membina ekosistem EV dengan lebih pantas dan rakyat akan ada lagi banyak pilihan.
Sze Han (kanan) dan Eugene menunjukkan aplikasi digunakan ketika mengecas kenderaan di stesen pengecasan Carput.
Mereka juga kemudiannya akan mula lebih yakin untuk pakai kereta elektrik ini sebab banyak pengecas tersedia dan harga cas pun mungkin lebih murah lagi daripada petrol.
Bagi kami pasaran di Malaysia ini luas dan keperluan terhadap stesen pengecas ini sentiasa ada.
Macam kita tengok stesen minyak dahulu, kalau tahun 80-an dulu mungkin tak banyak. Tapi sekarang ini kita tengok ada macam-macam jenis syarikat dan semuanya boleh bersaing secara sihat.
Jadi untuk Carput, walaupun kita masih kecil, tapi tak semestinya kita kena bersaing secara terus dengan syarikat lain lebih besar. Persaingan sedemikian tidak perlu pun sebab kita ada pasukan sendiri dan cara kita sendiri.
Kadang-kadang kita pun dapat kesan limpahan daripada pemain yang lain.
Apakah sasaran Carput dari segi operasi dan hala tuju syarikat untuk 10 tahun ke depan?
Untuk bergerak ke hadapan, kita memang tumpu untuk menyokong kepada pemberdayaan tenaga hijau dan lestari. Jadi kita melihat bahawa kenderaan elektrik adalah tempat yang kita perlu terokai khususnya di Malaysia.
Kemudian kerajaan juga pada waktu ini melaksanakan rasionalisasi subsidi dan harga minyak mungkin akan naik.
Jadi sebenarnya kereta EV ini adalah satu alternatif kepada rakyat. Tambahan lagi Perodua dan Proton juga bakal melancarkan kereta elektrik mereka yang mungkin dijual pada harga berpatutan.
Disebabkan itu, mungkin selepas ini akan lebih ramai lagi yang akan pakai kereta EV. Jadi kita nampak dalam masa 10 tahun ini akan ada lonjakan pengguna EV dibantu dengan bantuan ataupun inisiatif kerajaan yang akan merancakkan lagi industri EV. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram