Belum selesai kes tekap seterika, satu lagi kejadian buli sampai patah tulang rusuk dan belakang didakwa berlaku di UPNM


  • 112
  • Ahad, 10 Nov 2024

Mangsa yang merupakan pelajar Tahun Satu di universiti itu cedera pada 21 Oktober selepas dipanggil di padang kawad UPNM.

SATU lagi kejadian buli sehingga membawa kecederaan terhadap seorang pelajar didakwa berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan mengenai dakwaan buli itu dibuat kira-kira pukul 8.40 malam Jumaat lalu.

Laporan itu berkata, mangsa yang merupakan pelajar Tahun Satu di universiti itu cedera pada 21 Oktober selepas dipanggil di padang kawad UPNM.

BACA LAGI: Jumpa bomoh di Kedah lepas syak 'roommate' mencuri, ramai nasihat jangan semberono bertindak, ambil iktibar kes Zulfarhan

BACA LAGI: Kisah di sebaliknya lebih penting, juruteknologi radiologi Balik Pulau cipta karya seni unik tanam rasa empati

“Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami patah tulang rusuk dan tulang belakang selepas dipijak pelajar Tahun Tiga. Mangsa masih dirawat kerana mengalami kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” kata Rusdi.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pihak supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu kerana siasatan masih dijalankan.

Pada 8 November lalu, seorang kadet dari UPNM DIDAKWA di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar junior menggunakan seterika wap.

Amirul Iskandar Norhanizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Egusra Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, Amirul Iskandar didakwa secara senggaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap panas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik asrama di akademi tentera, kira-kira pukul 11.45 malam, 22 Oktober lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram