
SEBANYAK 21 konsert menampilkan artis antarabangsa dijangka diadakan di Malaysia pada tahun depan, menurut Kementerian Komunikasi.
Kementerian itu berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan rekod pra-permohonan yang diberikan penganjur setakat 31 Oktober depan.
21 konsert itu dijangka menarik kehadiran seramai 160,500 penonton.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Kementerian Komunikasi menjangkakan kesan ekonomi sebanyak RM80.25 juta melalui pelbagai sektor termasuk hotel, penyewaan, pengangkutan dan makanan.
“Jumlah ini dijangka meningkat kerana permohonan boleh dikemukakan 14 hari sebelum konsert diadakan,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 7 November lalu.
Kementerian Komunikasi turut menyatakan komitmen menyokong konsert membabitkan artis antarabangsa di Malaysia melalui Agensi Pusat Permohonan Penggambaran dan Persembahan Artis Asing (Puspal).
Kenyataan tersebut adalah menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) berhubung senarai konsert dirancang untuk 2025 dan impak ekonominya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada 5 November lalu memaklumkan konsert dan acara bukan sukan di venue utama seperti Stadium Nasional Bukit Jalil dan Arena Axiata menjana lebih banyak pendapatan berbanding acara sukan tradisional.
Hannah menekankan bahawa trend itu menunjukkan kepentingan yang semakin meningkat untuk mempelbagaikan tawaran acara bagi memaksimumkan penggunaan dan keuntungan kemudahan sukan negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram