SEEKOR harimau belang ditemukan mati akibat dilanggar sebuah lori dalam kejadian di Banjaran Titiwangsa Jeli-Gerik, Kelantan pada awal pagi Sabtu.
Menerusi perkongsian warga maya dalam laman media sosial X, haiwan pemangsa tersebut dipercayai dilanggar ketika melintas jalan di kawasan tersebut.
Difahamkan, pemandu lori berkenaan tidak sempat mengelak harimau berkenaan dan terus merempuhnya.
BACA LAGI: Warga emas nyanyuk tak sedar anak sudah meninggal 5 hari sehingga polis datang di Tanah Merah
Melalui maklumat awal yang dikongsikan haiwan tersebut turut terseret dan digilis beberapa meter selepas dilanggar.
Turut tular beberapa video dan gambar keadaan haiwan tersebut memaparkan keadaan haiwan itu berada dalam keadaan hancur dan kepalanya terpisah dari badan.
Turut kedengaran suara individu yang merakam insiden tersebut.
[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]
"Harimau, harimau kena langgar dengan lori badan hancur di hentian rehat Titiwangsa," jeritnya.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna X, @AimanAirin2 menggesa pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan lanjut berhubung kejadian itu.
Katanya, kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku dan harus diselesaikan dengan segera bagi melindungi haiwan terancam itu.
"Jabatan @PERHILITAN dan @jpmgov_ tiada jalan penyelesaian ke untuk mengelak kejadian berulang? Setiap bulan insiden yang sama.
"Lebuh raya tiada jalan khas untuk haiwan liar. Sepatutnya wujudkan jambatan atau pagar sepanjang lebuh raya," ciapnya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai insiden tersebut pada pukul 9 pagi dan sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian.
"Pemeriksaan mendapati, anggota haiwan tersebut dalam keadaan telah putus dan hancur.
"Karkas hancur kemungkinan turut digilis oleh kenderaan lain yang melalui jalan ini.
"Buat masa ini, kita tak dapat kenal pasti lagi jantina haiwan sama ada jantan atau betina. Begitu juga dengan berat yang tidak boleh dianggarkan. Bagaimanapun kita percaya ia melibatkan harimau dewasa," katanya pada Sabtu.
Jelas beliau lagi, harimau tersebut berkemungkinan keluar dari habitat hutan berhampiran sama ada Hutan Simpan Temenggor, Hutan Simpan Gerik atau Royal Belum.
"Siasatan kami mendapati harimau itu dirempuh sebuah lori kira-kira pukul 5.30 pagi Sabtu.
"Kami berjaya menahan pemandu tersebut dan dia memberitahu pegawai yang bertugas tidak dapat memberhentikan kenderaan tepat pada masanya apabila dia melihat harimau itu di atas jalan dan melanggarnya.
"Sementara itu, individu yang telah mengambil bahagian bangkai harimau seperti kulit, taring, tulang, kuku atau misai hendaklah segera menyerahkannya kepada Perhilitan bagi mengelak tindakan diambil terhadap mereka.
“Kami telah mengumpul bahagian apa yang tinggal dan membuat laporan polis,” katanya.
Yusoff menambah, di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, sesiapa yang didapati memiliki bahagian Harimau Malaya boleh didenda sekurang-kurangnya RM150,000 dan penjara sehingga 15 tahun.
“Kami bekerjasama dengan polis untuk mengumpul maklumat dan mengesan mereka yang bertanggungjawab mengambil bahagian harimau itu,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram