POLIS berjaya menumpaskan sindiket haram yang mengenakan caj sehingga RM2,300 kepada setiap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk pulang ke negara asal dalam dua siri serbuan di Tanjung Karang dan Rawang, Selangor, pada Rabu.
Serbuan Ops Pintas itu dilakukan Bahagian Pencegahan Penyeludupan Migran (D3) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Operasi serbuan dijalankan berjaya menahan seramai 64 warga Indonesia yang mempunyai pelbagai peranan dalam sindiket dikenali sebagai 'Geng Castelo'.
BACA LAGI: Ayah dan anak maut kena tikam di P. Pinang lepas tolak lamaran
BACA LAGI: Sempat terima panggilan sebelum 2 beranak maut kena tikam di P.Pinang lepas tolak lamaran
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam serbuan pertama pada 6 petang Rabu, sebuah bot kecil dan sampan berjaya dipintas sejauh 0.5 batu nautika dari pantai Sungai Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, Selangor dengan bantuan polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Katanya, seramai 36 pendatang warga Indonesia terdiri daripada 19 lelaki, 14 wanita dan tiga kanak-kanak berusia dua hingga 48 tahun ditahan. Dua daripada lelaki itu disyaki sebagai juragan.
Serbuan kedua dilakukan pada pukul 6 petang Khamis. Pasukan itu menyerbu sebuah rumah di Kundang, Rawang dan menahan 26 warga Indonesia terdiri daripada 20 lelaki, lima wanita dan seorang lelaki berusia empat hingga 49 tahun.
"Siasatan lanjut mendapati kedua-dua serbuan itu membabitkan sindiket sama, dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.
"Pendatang asing yang ditahan tidak mempunyai dokumen yang sah dan mahu meninggalkan Malaysia.
"Setiap migran dipercayai membayar RM1,500 hingga RM2,300 untuk meninggalkan Malaysia yang dibayar kepada ejen di Indonesia," katanya.
Secara keseluruhan, seramai 64 warga Indonesia, termasuk tekong, pengangkut, dan penjaga rumah transit telah ditahan dalam operasi itu.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan IPD Sungai Buloh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan Seksyen 15(1)(c) akta sama. — The Star/N.TRISHA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram