SEORANG lelaki maut di parkir tingkat empat sebuah hotel di Bintulu, Sarawak dipercayai ditembak individu tidak dikenali dalam satu kejadian pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, susulan kejadian itu pihak polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan dua suspek yang terlibat.
Katanya, dua suspek lelaki masing-masing warga tempatan dan warganegara asing berumur 40-an berjaya dikesan dan ditahan di Miri kira-kira sejauh 200 kilometer (km) dari lokasi kejadian pukul 3 pagi Jumaat.
BACA LAGI: [VIDEO] Keris makan tuan, lelaki Bugis hilang nyawa tertusuk senjata ketika upacara sambut pengantin
"Turut dirampas sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
"Sebelum itu, seorang lelaki tempatan dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di tempat kejadian dan setibanya pihak ambulans, didapati mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kejadian tembak di Bintulu https://t.co/YImtPmL22K pic.twitter.com/Kimds2JKx1
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) November 8, 2024
Jelas Nixon lagi, pihak polis telah memohon tahanan reman daripada Mahkamah Majistret Bintulu ke atas dua suspek terbabit dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tegasnya, pihak polis tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan perbuatan jenayah serta komited dalam mengesan suspek yang terlibat dalam kes itu.
Justeru, beliau menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang masih dalam siasatan dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menerusi talian 086-318304.
Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang lelaki ditetal dan ditembak dua individu di parkir tingkat empat sebuah hotel di Bintulu sehingga menimbulkan kegusaran awam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram