SEORANG pelajar berusia 17 tahun maut di sebuah tapak pembinaan pusat membeli-belah di Kuala Terengganu, Terengganu pada Rabu.
Pelajar yang bekerja sambilan sebagai pekerja pembinaan itu ditemui maut pada sekitar 4.30 petang ketika sedang membawa bahan binaan di dalam troli yang diubah suai.
Mangsa dilaporkan sedang ingin membawa ke sebuah lot kedai yang sedang diubah suai.
BACA LAGI: [VIDEO] Kenderaan pengangkut kereta perisai ATM terbalik gara-gara elak treler tiba-tiba ubah laluan
BACA LAGI: Ayah dan anak maut kena tikam di P. Pinang lepas tolak lamaran
Namun begitu, troli yang dibawanya kemudiannya rosak dan bahan binaan tersebut terkena kepalanya lalu menyebabkan kecederaan serius.
Mangsa kemudiannya disahkan mati di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan di kepala yang serius.
Dalam kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Terengganu (JKKP) pada Khamis, mereka mengarahkan siasatan lanjut dilakukan di tempat kejadian.
"Pihak JKKP telah hadir ke pusat beli-belah terbabit semalam untuk menjalankan siasatan lanjut.
"Notis Larangan (NOP) dikeluarkan kepada kontraktor terlibat disebabkan kegagalan menyediakan kaedah selamat bagi kerja-kerja memunggah dan memindah barangan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan maut," kata JKKP.
Walaupun begitu, siasatan lanjut akan dilakukan dengan lebih mendalam untuk melihat sama ada berlaku pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 terjadi semasa kejadian.
"JKKP memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja sama ada melibatkan orang awam atau pekerja. Majikan dan pekerja bertanggungjawab mengenal pasti dan membuat penilaian risiko terhadap bahaya di tempat kerja.
"Langkah kawalan risiko berkesan perlu diambil untuk mengurangkan risiko kemalangan dan kesihatan terhadap pekerja sekiranya berlaku kejadian tidak diingini," ujar JKKP. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram