SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, konsep gim khas untuk wanita semakin popular di Malaysia.
Kewujudan pusat kecergasan ini bukan sahaja memberi ruang eksklusif kepada wanita untuk berlatih tanpa rasa kekok, tetapi menawarkan suasana lebih privasi dan selesa.
Melalui pendekatan yang memahami keperluan dan cabaran unik dihadapi wanita dalam bidang kecergasan, adalah tidak pelik apabila ia mendapat sambutan hangat di Malaysia.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Antara menawarkan perkhidmatan tersebut adalah pusat kecergasan Clouds Fitnes yang terletak di Bandar Sunsuria, Sepang Malaysia.
Beroperasi 24 jam, gim ini diusahakan Siti Aishah Noor Azham Shah, 29 yang turut dikenali di laman X sebagai seorang jurubahasa teknikal bahasa Korea.
Siti Aishah yang berasal dari Subang Jaya, Selangor berkata, idea membuka gim khusus untuk wanita itu sememangnya sudah mula timbul sejak dia berada di bangku sekolah menengah.
Siti Aishah (kiri) bekerja sebagai penterjemah bahasa Korea sejak 2017.
Pada waktu itu, dia yang merupakan atlet renang sering berdepan pengalaman kurang selesa setiap kali berkunjung ke gim untuk bersenam ditambah dengan penampilannya yang berkepala botak kerana masalah kesihatan.
"Masa itu saya berlatih sebagai seorang atlet. Jadi sebagai perempuan lagi-lagi dengan penampilan berambut botak, agak sukar untuk saya setiap kali pergi ke gim," katanya yang menamatkan persekolahan sekitar 2012.
Menurut Siti Aishah, perkara tersebut hanya berlegar sebagai idea yang berlegar di dalam fikirannya.
Bagaimanapun, ujarnya, perkara itu berubah selepas dia mendapat pendedahan ketika sedang menetap di Korea Selatan sejak 2018 dengan berkhidmat sebagai penterjemah di bawah program pertukaran rumah inap di negara tersebut.
"Bila dekat Korea Selatan, saya perasan dekat mana-mana saya pergi mesti sekurang-kurangnya ada satu gim khusus untuk wanita. Ia buat saya terfikir kenapa dekat Malaysia terutamanya waktu itu masih tak berapa popular lagi konsep macam itu," ujarnya.
Selepas dua tahun, Siti Aishah pulang ke Malaysia pada 2020 dan mula bekerja sebagai penyelia kandungan berbahasa Korea di sebuah syarikat media sosial.
Pada masa sama, dia turut terus menjalankan pekerjaan sambilan selaku penterjemah dan jurubahasa sambilan bahasa Korea.
Tempoh tersebut juga menyaksikan ideanya untuk membuka gim khusus bagi wanita kembali tumbuh menerusi interaksinya bersama ahli perniagaan dan individu dari Korea Selatan.
Siti Aishah berkata, gimnya menekankan kepada penggunaan ruang bagi aktiviti senaman tertentu.
Disebabkan itu, sebaik berhenti berkhidmat sebagai penyelia kandungan pada awal 2023, dia membuat keputusan untuk membuka Clouds Fitness pada Februari tahun tersebut.
Siti Aishah berkata, langkah tersebut dimulakan dengan bermodalkan sebahagian besarnya daripada wang simpanannya ketika bekerja selama dua tahun di Malaysia.
"Saya memang tidak ada pendedahan mengenai perniagaan kecergasan walaupun mempunyai minat. Tapi waktu awal itu saya memang buat kajian mengenai industri ini.
"Selain itu saya juga dapatkan khidmat daripada perunding gim. Jadi dia yang akan berikan tunjuk ajar daripada tempahan dan susun atur mesin di gim," katanya yang mengeluarkan modal kira-kira RM300,000 untuk memulakan Clouds Fitness.
Keistimewaan gim khusus wanita
Dalam pada itu, Siti Aishah berkata, berbeza dengan pusat kecergasan biasa, gim diusahakannya tidak begitu memberikan tumpuan terhadap jumlah mesin yang digunakan.
Ini kerana menurutnya, keperluan senaman wanita adalah berbeza berbanding lelaki dan lebih fokus terhadap fungsi ruang berbanding penggunaan mesin.
"Kalau lelaki, biasanya kalau pergi gim mereka cuma nak bersenam sahaja. Tapi kalau perempuan, ia berbeza kerana mereka lebih pentingkan kewujudan ruang berbanding kemudahan mesin.
"Jadi adalah memadai untuk menyediakan mesin yang asas. Apa yang lebih utama adalah penyediaan ruang untuk senaman bahagian bawah badan, kardio, senaman tanpa beban dan yoga. Jadi dia lebih spesifik," ujarnya.
Sementara itu, dengan waktu operasi 24 jam, Cloud Fitness juga memberi ruang kepada pelanggan untuk datang pada bila-bila masa.
Tambahan pula jelasnya, dengan lokasinya yang terletak berdekatan lapangan terbang, kebanyakan daripada pelanggan tetapnya terdiri daripada mereka yang bekerja dalam industri penerbangan dengan waktu kerja tidak menentu seperti pramugari dan juga jurutera kapal terbang.
Ujarnya, harga perkhidmatan di gimnya bermula pada RM15 untuk 'walk-in' pakej langganan bulanan dan tahunan bermula dari RM125 hingga RM1,200.
Pernah berkhidmat bersama Blackpink
Siti Aishah ketika menjalankan tugasan sebagai jurubahasa.
Selain mengusahakan gim, Siti Aishah kini turut meneruskan tugasan sebagai jurubahasa teknikal bahasa Korea, iaitu pekerjaan yang sudah dilakukannya sejak 2017.
Tugasan itu turut menyaksikannya berpeluang bekerjasama dengan artis K-Pop terkemuka yang datang ke Malaysia untuk melangsungkan konsert mereka antaranya seperti Blackpink, Super Junior, Icon dan Winner.
Siti Aishah berkata, permulaannya dalam bidang penterjemahan itu bermula selepas dia melakukan perkongsian mengenai Korea di media sosial.
"Alhamdulillah daripada situ saya dipanggil dan dapat banyak tugasan sebagai penterjemah untuk artis Korea yang datang Malaysia.
"Jadi secara asasnya, saya akan jadi perantara antara pasukan artis tersebut dengan kru di Malaysia khususnya dalam melangsungkan konsert," ujarnya yang menguasai bahasa Korea tanpa sebarang pendidikan formal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram