BERPANTANG ajal sebelum maut. Itulah ungkapan tepat bagi menggambarkan kemalangan ngeri melibatkan seorang anak dan ayah yang parah selepas dirempuh lori pikap terbabas ketika berada di hadapan sebuah kedai runcit.
Kejadian di Desa Sidomukti, Kabupaten Kutai Kartanegara, Tenggarong, Indonesia pada Isnin lalu itu turut dirakam oleh kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) di lokasi.
Berdasarkan klip terbabit, dua beranak itu dilihat keluar daripada kedai runcit berkenaan dan pergi ke arah motosikalnya yang diletakkan di tepi jalan.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Bagaimanapun, sebuah lori pikap yang dipandu laju didapati hilang kawalan sebelum terbabas merempuh kedua-dua mangsa yang ketika itu sedang meletakkan barangan yang sedang dibeli di atas motosikal.
Dua beranak itu dilihat terpelanting akibat impak perlanggaran bersama lori kecil tersebut.
Tangkap layar video memaparkan mangsa pergi ke arah motosikalnya yang diletakkan di depan kedai runcit terbabit.
Susulan daripada itu, lelaki berkenaan yang berusia 22 tahun dilaporkan mengalami kecederaan serius di bahagian kaki kiri manakala mangsa kanak-kanak berusia 4 tahun pula parah di kepala.
Kedua-dua mangsa masih dirawat hospital dengan kanak-kanak tersebut dikatakan masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Wakil Polis Kutai Kartanegara, Heri Rusyaman berkata, ketika kejadian, lori pikap terbabit dipandu dengan laju oleh pemandunya yang berusia 40 tahun sebelum ia hilang kawalan sehingga mengakibatkan kemalangan tersebut.
Susulan daripada itu, pihak berkuasa menyiasat pemandu terbabit di bawah kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan kecederaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram