SEJAK berdepan dengan pendakwaan di mahkamah, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui bahawa sukar untuk mencari sahabat sejati terutama mereka yang sanggup menemaninya ketika dalam kesusahan.
Menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu, Najib berkata, ramai yang hanya muncul ketika mahu mencari kesenangan dan ada juga yang bermuka-muka (berpura-pura).
"Tetapi hidup ini memang penuh pengajaran. Di kala kepahitan hari ini, ada setitik kemanisannya dan penghargaan," luahnya.
BACA LAGI: Dakwaan berlaku berat sebelah, keraguan dalam proses siasatan 1MDB tidak berasas — Mahkamah Tinggi
BACA LAGI: Najib antara 11 individu bakal dipanggil sebagai saksi perbicaraan kes 1MDB — Muhammad Shafee
Ku Li antara pemimpin Umno yang hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu. — Facebook/Najib
Pada Rabu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap empat kes melibatkan dakwaan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah hampir RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan jumlah yang sama.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengisytiharkan keputusan itu selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie pada akhir pembentangan mereka.
Bekas presiden Umno itu bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang menyokong dan menunggu keputusan kesnya.
"Ramai penyokong dan rakyat biasa yang menghargai sumbangan saya dan merindui dasar pentadbiran sebelum ini.
"Ikhlas, inilah erti persahabatan sejati. Semoga ikatan yang terjalin di dunia berkekalan dan menjadi berkat dunia akhirat," tambahnya.
Pada hari sama, kelihatan beberapa rakan politik yang hadir ke mahkamah termasuk pemimpin Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau dikenali sebagai Ku Li sebagai tanda sokongan terhadap Najib. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram