Program biasiswa tajaan kerajaan Rusia kini dibuka untuk pelajar warga Malaysia


  • Primer
  • Rabu, 30 Okt 2024

Program biasiswa itu membolehkan pelajar Malaysia mendapat pendidikan tajaan daripada kerajaan di Rusia. — Gambar hiasan/Agensi

SEMUA warganegara Malaysia yang layak kini boleh membuat permohonan Program Biasiswa Kerajaan Rusia untuk pengambilan sesi 2025/2026 sehingga 15 Januari 2025.

Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia (Rumah Rusia) di Kuala Lumpur mengumumkan, kerajaan Rusia menawarkan sebanyak 20 biasiswa penuh kepada calon Malaysia yang berjaya untuk melanjutkan pengajian tinggi di negara itu.

Menurutnya, program itu membolehkan pelajar Malaysia mendapat pendidikan tajaan kerajaan di Rusia serta memberi mereka pengalaman akademik dan budaya yang bernilai.

BACA LAGI: Jumpa bomoh di Kedah lepas syak 'roommate' mencuri, ramai nasihat jangan semberono bertindak, ambil iktibar kes Zulfarhan

BACA LAGI: Belajar tinggi-tinggi di luar negara bukan alasan 2 graduan tidak tabur bakti di tanah air sendiri

Maklumnya, biasiswa itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang sudah tamat pengajian daripada sekolah menengah, sekolah vokasional, atau kolej.

"Misi kami adalah untuk mempromosikan hubungan budaya dan pendidikan antara Rusia dan Malaysia melalui pelbagai program, acara dan inisiatif.

"Salah satu aktiviti utama kami adalah menawarkan peluang kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di Rusia di bawah Program Biasiswa Kerajaan Rusia.

"Calon yang layak boleh memohon biasiswa untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda atau melanjutkan Pendidikan Vokasional Menengah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bukan itu sahaja, pelajar Malaysia juga ditawarkan program Ijazah Sarjana, Doktor Falsafah (PhD), latihan doktor serta program tambahan lain.

Lebih 400 universiti di 80 wilayah di Rusia menawarkan sehingga 17,000 program pendidikan dalam pelbagai bidang pengajian serta tiada had umur dikenakan kepada calon.

Biasiswa tersebut juga dapat menampung yuran pengajian penuh untuk pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Pasca Siswazah, latihan doktor serta Pendidikan Vokasional Menengah dan program tambahan jangka pendek.

"Bagi calon yang perlu memperbaiki kemahiran Bahasa Rusia, biasiswa ini akan merangkumi Kursus Persediaan Bahasa Rusia sebelum program pengajian utama, biasanya di universiti atau bandar yang sama kerana kebanyakan program diajar dalam Bahasa Rusia.

"Calon boleh memohon kedua-dua kursus dan biasiswa secara langsung di laman web https://education-in-russia.com/.

"Pemilihan calon termasuk penilaian permohonan dan temu duga akan dijalankan oleh Rumah Rusia di Kuala Lumpur," tambahnya.

Sementara itu, pemohon yang berminat boleh menghubungi Rumah Rusia di Kuala Lumpur di talian, 012-4804100 atau e-mel: [email protected] untuk maklumat lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram