'Seminggu sakit perut', sukar komunikasi, cari makanan sesuai jadi pengalaman 'mahal' 2 anak Sabah timba ilmu di Semenanjung


  • Massa
  • Selasa, 05 Nov 2024

Rainally (kiri) merupakan antara pelajar UiTM Shah Alam yang berasal dari Sabah.

MERANTAU atau berhijrah ke negeri orang merupakan pengalaman mahal dan sememangnya bukan senang didapatkan.

Ia bukan sekadar satu perjalanan melibatkan fizikal, tetapi juga emosional dan mental yang mampu mematangkan pemikiran serta watak seseorang individu itu.

Setiap orang juga mempunyai tujuan tersendiri untuk merantau seperti mencari peluang pekerjaan atau mendapatkan pendidikan lebih baik.

BACA LAGI: 'Jangan takut gagal', remaja 16 tahun gigih tulis, sampaikan 101 ucapan berani cabar potensi diri

BACA LAGI: Bukan sembarangan tempat boleh memancing, kaki joran tegar perlu jaga etika bantu selamatkan ekosistem

6127274798187922230

Merantau ke negeri atau negara lain memberi pengalaman berharga buat seseorang. — Gambar hiasan/Agensi

Dalam menempuhi proses itu, tidak dapat dinafikan mereka perlu berdepan dengan pelbagai situasi baharu yang memerlukan keupayaan mengadaptasi diri dengan persekitaran berbeza.

Begitu jugalah yang berlaku pada dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor yang merantau ribuan kilometer dari Sabah ke Semenanjung.

Kedua-dua pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik itu tidak menolak bahawa menyesuaikan diri di tempat baharu bukan perkara mudah dilakukan.

Menurut Elsha Elisty Jauhah, 20, antara cabaran terbesarnya adalah daripada aspek berkomunikasi dengan warga Semenanjung.

6127274798187922228

Elsha mengakui bahawa komunikasi menjadi antara cabaran utama ketika baru tiba di Semenanjung.

Elsha berkata, kebanyakan rakan-rakan Semenanjung sukar untuk memahami maksud ayat yang dituturkannya.

"Saya punya percakapan masih ada slang Sabah, jadi kadang-kadang mereka tak faham.

"Mereka kata, saya bercakap terlalu laju sampai ada kawan yang perlu terjemahkan," katanya kepada Majoriti.

Anak Ranau, Sabah itu bagaimanapun tidak menganggap ia sebagai satu halangan dan sentiasa mahu memperbaiki lagi kemahirannya dalam menggunakan bahasa Semenanjung.

Memandangkan Elsha baru sahaja berada di semester pertama, dia kini sedang mempelajari budaya baharu yang sememangnya berbeza dari kampung asalnya.

Bagi Rainally Hainok, 23, pula, selain komunikasi, makanan juga menjadi cabaran terbesar buatnya ketika baru menjejakkan kaki di Shah Alam.

6127274798187922227

Rainally juga mempunyai kebolehan bermain alat muzik seperti gitar.

Katanya, anatara perbezaan ketara makanan di Sabah dengan Semenanjung adalah pada tahap kepedasannya.

"Pada awalnya, saya selalu sakit perut dan seminggu tak boleh makan masakan lauk-lauk berat di sini.

"Saya perlu elak makanan pedas sebab kepedasan di sini sangat berbeza dengan di Sabah," katanya.

Pelajar berasal dari Pitas, Sabah itu bagaimanapun berjaya menyesuaikan tekak dan deria rasanya setelah lebih dua minggu menetap di Selangor.

Berkongsi pula tentang bidang pengajiannya, dua pelajar tersebut memberitahu bahawa muzik merupakan jurusan paling digemari.

Meskipun menerima pelbagai tanggapan negatif tentang kerjaya dalam industri seni itu di Malaysia, Elsha dan Rainally tidak melihat ia sebagai halangan buatnya.

6127274798187922225

Rainally (dua dari kiri) bersyukur mempunyai keluarga yang memahami dan menyokong minatnya.

Bagi mereka, tujuannya adalah hanya mahu menuntut ilmu dan membanggakan keluarga di perantauan.

Kedua-dua anak jati Sabah itu juga bersyukur dikurniakan keluarga yang sangat memahami dan menyokong segala keputusan dan kemahuan mereka melanjutkan pengajian dalam bidang itu.

"Ada juga yang persoalkan, bolehkah kami dapat cari duit dengan bermain muzik atau menyanyi. Tetapi, ini perlu diubah kerana ilmu yang dipelajari sekarang bukan penentu pada kerjaya di masa hadapan.

"Syukur, ibu bapa dan ahli keluarga sangat memberi dorongan dan semangat serta selalu pesan supaya belajar betul-betul hingga berjaya," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram