[VIDEO] Penganjur tiada lesen sediakan mercun, bunga api punca dewan sambut majlis hari jadi terbakar di Teluk Intan


  • 112
  • Selasa, 05 Nov 2024

Tangkap layar video memaparkan insiden kebakaran di Dewan Arena Square, Teluk Intan, Perak pada Isnin.

POLIS menahan seorang penganjur majlis sambutan ulang tahun selepas disyaki terlibat dalam insiden kebakaran di Dewan Arena Square, Teluk Intan, Perak pada Isnin.

Dalam kejadian pukul 11.38 malam itu, bumbung dewan yang disewa daripada pihak Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) itu musnah dijilat api sebelum berjaya dipadamkan oleh bomba.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, hasil siasatan awal bersama pasukan forensik bomba mendapati, kebakaran mungkin berpunca daripada percikan bunga api dan mercun yang ditembak ke arah bumbung dewan.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki Brazil terduduk tahan sakit, malu besar ditampar polis 3 kali akibat kasari ibu terlantar

BACA LAGI: Musim kenduri kahwin, tetamu majlis dinasihat jangan parkir depan pagar rumah jiran tuan rumah

Susulan itu, Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di rumahnya di Teluk Intan kira-kira pukul 3 petang Isnin.

"Penganjur menyewa dewan daripada MPTI dan dipercayai menyediakan pelbagai jenis mercun serta bunga api untuk digunakan kira-kira 500 tetamu yang hadir.

"Bagaimanapun, hasil semakan mendapati penganjur tidak memiliki lesen sah untuk penggunaan bunga api dan mercun terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Selasa untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.

Beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa penggunaan mercun dan bunga api tanpa lesen merupakan satu kesalahan undang-undang yang boleh mendatangkan risiko keselamatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki dan bermain mercun atau bunga api tanpa lesen," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram