Lelaki mengaku tak bersalah cuba culik pemaju hartanah di JB, siap minta wang tebusan RM20 juta


Shih Ming (tengah) mengaku tidak bersalah kerana cuba menculik pemaju hartanah di Johor.

SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan percubaan menculik pemaju hartanah berusia 59 tahun di Johor Bahru, Johor.

Chong Shih Ming, 46 bersama-sama dua warga Vietnam, Luong Van Tung, 39, dan Tran Van Chung, 29 didakwa di Mahkamah Seksyen di sini atas pertuduhan menculik mangsa pada sekitar pukul 5 pagi, 13 Oktober lalu dengan tujuan untuk mendapatkan wang tebusan.

Shih Ming dilaporkan cuba untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM20 juta.

BACA LAGI: [VIDEO] Mahkamah Thailand izin polis tahan 6 rakyat Malaysia selama 3 bulan

BACA LAGI: Pegawai polis didakwa bunuh pelajar di Ipoh tukar pasukan peguam

Dia mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, dengan pendakwaan dibaca mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama 30 hingga 40 tahun serta sebat.

Sementara itu bagi dua warga Vietnam terlibat, pendakwaan dibaca oleh jurubahasa kerana mereka tidak memahami Bahasa Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya tidak mencadangkan Shih Ming diikat jamin kerana perbuatannya dikategorikan sebagai "kesalahan tidak boleh diikat jamin".

Tetapi, Thiviya berkata, sekiranya mahkamah mempertimbang untuk diikat jamin, jumlah sebanyak RM30,000 ditetapkan untuk tujuan itu.

Akan tetapi, jumlah ikat jamin itu dinaikkan kepada RM50,000 selepas Thiviya memberitahu mahkamah yang maklumat dan risikan polis membawa kepada penangkapan tiga suspek itu, bagaimanapun mereka masih belum mendapatkan semula wang tebusan tersebut.

Shih Ming dibenarkan diikat jamin bersama seorang penjamin serta diarahkan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsanya dan dihalang daripada berhubung dengan mangsa dan saksi.

Dalam masa yang sama, tiada tawaran ikat jamin buat dua warga Vietnam itu tetapi ia akan dilakukan apabila pendakwaan dibacakan semula pada 17 November menggunakan bantuan jurubahasa. — The Star/YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram