Bekas bintang EPL dicanang sertai Kelana Jaya selepas diswastakan


  • Podium
  • Isnin, 04 Nov 2024

Cahill (kanan) ketika pertemuan bersama Tunku Ismail dan Anwar Ibrahim di istana Johor pada Ogos lepas. — Facebook/TMJ

WALAUPUN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengesahkan bahawa tiada istilah bercerai antara Harimau Malaya dengan badan induk berkenaan, namun suara-suara mengenai penswastaan skuad kebangsaan masih didengari.

Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM iaitu Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, skuad Harimau Malaya tidak akan diswastakan, namun diletakkan di bawah unit khas badan induk bola sepak negara itu.

Beliau berkata, unit baharu itu akan bertanggungjawab memantau dan mengendalikan skuad Harimau Malaya dan Bawah 23 Tahun (B-23) termasuklah membabitkan peruntukan kewangan serta barisan kejurulatihan pasukan.

BACA LAGI: 'Biarlah orang yang benar-benar tepat jaga Harimau Malaya apabila diswastakan'

BACA LAGI: Datang dengan tempang, Harimau Malaya tidak boleh ambil mudah Filipina

Bagaimanapun, masih ada pihak yang berharap agar bayangan diberikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebelum ini iaitu Harimau Malaya mungkin diswastakan akan menjadi kenyataan.

Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkongsi dokumen yang dinamakan sebagai 'Strategi Skuad Kebangsaan' di laman sosialnya dengan ia dikatakan akan diurus oleh badan bebas dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau Pengarah Teknikal.

Sehubungan dengan itu, nama legenda bola sepak Australia iaitu Tim Cahill mula dikaitkan akan menerajui projek berkenaan terutama selepas kunjungannya ke tanah air pada Ogos lepas.

WhatsApp Image 2024-11-04 at 23.21.28

Cahill dicanang akan terlibat dalam projek khas Harimau Malaya. — Instagram/TimCahill

Cahill menyertai pertemuan Tunku Ismail bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di istana Johor bagi membincangkan aspek bola sepak di Malaysia termasuk inisiatif-inisiatif untuk membawa sukan itu lebih ke hadapan.

Selepas dua bulan pertemuan diadakan, timbul khabar angin menyatakan bahawa Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) dan Ketua Pegawai Sukan (CSO) Aspire Academy itu dikaitkan dengan jawatan di Kelana Jaya.

Bagaimanapun, khabar angin yang tersebar menerusi hantaran laman Facebook, Palatao Bola itu masih tidak disahkan oleh FAM mahupun kenyataan rasmi dari bekas bintang Everton berkenaan.

isi dalam dalam dalam

Sebelum ini, kecoh dalam kalangan penyokong mengenai Harimau Malaya mungkin akan diswastakan. — Facebook/FAM

Kebelakangan ini, Cahill menunjukkan minat dengan bola sepak tanah air apabila dia juga pernah memberi respons mengenai pengumuman yang dibuat oleh Anwar mengenai peruntukan RM15 Juta yang disalurkan buat Harimau Malaya pada September lepas.

“Tahniah bola sepak Malaysia,” ujarnya ringkas dalam satu hantaran di laman X. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram