MERIAH, mengagumkan dan menakjubkan. Itulah tiga perkataan yang sesuai untuk menceritakan konsert Cipta 2 bersama Datuk M Nasir yang diadakan di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Aura dimiliki artis berusia 67 tahun itu sememangnya tidak boleh dinafikan apabila orang ramai sudah membanjiri venue persembahan sejak pukul 7 petang dengan ramai daripada mereka lengkap berbaju putih serta seluar denim biru.
Tidak cukup dengan penonton daripada pelbagai lapisan umur, konsert berkenaan turut dihadiri barisan artis tanah air seperti Lah Ahmad, Akim Ahmad, Stacy dan beberapa kumpulan penyanyi, termasuk Wings dan Exist.
BACA LAGI: Lagu ‘healing’ jadi identiti, Umar Akmal mahu ‘berguru’ dengan sifu M. Nasir
BACA LAGI: 'Yang dulu dah habis', M Nasir kongsi pembikinan album baharu
Penantian untuk menyaksikan artis kegemaran ramai itu akhirnya berakhir tepat pukul 8.45 malam dengan lagu Pawana nyanyian kumpulan Search menjadi mukadimah kepada malam sukar dilupakan tersebut.
Petikan gitar, pukulan alatan muzik tradisional Melayu dan pelbagai perkakas lain mengiringi nyanyian M Nasir yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas meskipun membawa lagu genre rock yang sedikit berbeza dengan imejnya.
Lagu berkenaan diikuti Hukum Karma dendangan Wings, Rajawali Terbang Tinggi dan Kias Fansuri sebelum beliau memberi sepatah dua kata buat penonton yang terlalu kagum akan sosok tubuh kelahiran Singapura itu.
Malah, beliau yang juga dikenali sebagai komposer dan penulis lirik itu sempat bergurau senda dengan para hadirin sebelum menyanyikan lagu Senyumlah Kuala Lumpur dan Andainya Aku Pergi Dulu nyanyian kumpulan Alleycats.
Persembahan diteruskan dengan lagu Malam, Juwita dan Cinta Dewa-Dewi yang menyaksikan hampir 6,000 penonton gagal menahan diri daripada mengikuti bait-bait nyanyian yang dilontarkan beliau.
M Nasir ketika mendendangkan lagu Bonda yang amat menyentuh hati. — Bangsawan Pictures
Suasana pada malam itu menjadi semakin hangat selepas orang ramai mendengar petikan gitar daripada gitaris terkenal tanah air, Kid Search atau nama sebenarnya Hamzah Mohd Taib.
Meskipun kehadirannya dalam konsert tersebut sudah diketahui umum, masing-masing seakan-akan terkaku melihat kelibatnya bersama M Nasir dengan tiga lagu disampaikan, iaitu Fantasia Bulan Madu dan Isabella nyanyian Search serta Tiara dendangan Kris saat mereka berdua bersama-sama di atas pentas.
Beberapa momen menarik juga sempat disaksikan yang hanya membuktikan hubungan rapat antara kedua-dua artis tanah air selepas mereka bertahun-tahun dalam dunia seni.
Persembahan kemudian dihentikan untuk kira-kira lima minit untuk memberi ruang buat para artis berehat sebelum diteruskan dengan lagu Duit-Duit, Gerhana, Peronda Jaket Biru dan Lagu Jiwa Lagu Cinta.
Suasana meriah di Axiata Arena kemudiannya ditenangkan seketika dengan lagu genre balada dipersembahkan bermula dengan Srikandi Cintaku, Awan Nano nyanyian Hafiz Suip, Bonda, Melawan Arus dan Bila Rumi Menari.
Beberapa momen sempat dirakam orang ramai ketika konsert berkenaan. — Bangsawan Pictures
Bagaimanapun, kehangatan apabila dirasai ketika lagu Apokalips dan Mentera Semerah Padi dipersembahkan dengan masing-masing seperti tidak dapat menahan diri daripada turut serta menyanyikannya bersama-sama.
Kedua-dua lagu dendangan M Nasir itu boleh dikatakan kemuncak kepada konsert berdurasi tiga jam tersebut dengan ia diikuti lagu-lagu seperti Aduhai Kasih Aduhai, Mencurah Janji di Daun Keladi dan Keroncong Untuk Ana.
Setelah 31 lagu dinyanyikan, tiba masanya buat M Nasir sekali lagi memberi kata-kata penghargaan buat penonton yang cukup bersemangat sepanjang konsert dijalankan.
Malah, komposer terkenal tersebut sempat memperkenalkan barisan 24 pemuzik di atas pentas yang menjayakan konsert berkenaan dengan ia membuktikan M Nasir cukup menghargai titik peluh daripada mereka yang tidak lekang membantunya.
Namun, kejutan sekali lagi diterima penonton apabila lagu terkenal setiap kali sambutan Aidilfitri, Satu Hari di Hari Raya disampaikan sebagai penutup kepada konsert itu.
Lagu yang tidak pernah lekang daripada halwa telinga orang ramai untuk pelbagai lapisan generasi itu menandakan pengakhiran buat konsert Cipta 2 yang pasti sukar dilupakan para hadirin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram