TONGGAK pasukan Selangor FC, Khairul Effendy Bahrin, menepis tanggapan bahawa dirinya tidak lagi relevan untuk menyarung jersi skuad futsal kebangsaan susulan usianya yang kian lanjut.
Memetik laporan Stadium Astro, tonggak Selangor yang berusia 36 tahun berkenaan percaya dia masih mampu memberikan sumbangan kepada pasukan negara menerusi pengalamannya.
BACA LAGI: Sudah ada nama, JDT nekad ‘sailang’ beberapa bintang Selangor jika berpeluang
BACA LAGI: Coach Pahang tidak puas hati nombor 3, buru pemain baharu MPFL 2025
"Saya dah biasa dengan perkara ini, jika saya sudah tidak relevan lagi, tetapi saya masih lagi di sini. Perkara itu biasa, saya cuma berikan yang terbaik orang lain boleh menilai persembahan saya sendiri.
"Dalam peringkat kumpulan mungkin agar sukar, tetapi jurulatih percaya dengan pemain. Dalam masa seminggu dua ini kita boleh lihat bagaimana jurulatih menyediakan dengan pemain yang sedia ada ini," katanya.
Khairul Effendy atau mesra dengan panggilan Ayon muncul pemain paling berusia yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad futsal negara. Seramai 20 pemain dipanggil Rakhpol Sainetngam untuk Kejuaraan Futsal Asean di Thailand bulan depan.
Dalam kalangan 20 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan untuk saingan dari 2 hingga 11 November tersebut, tumpuan pastinya terarah kepada pemain Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Masakan tidak, kedua-dua pemain dari dua pasukan berkenaan baru sahaja melalui final yang sengit bagi kejohanan final Piala Tutsal Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Bercakap mengenai pertemuan semula dengan beberapa pemain JDT itu, Khairul Effendy akui ia hanya permusuhan atas padang dan kini mereka akan bersama-sama memberikan terbaik untuk negara.
"Kita bersaing dalam gelanggang tetapi berkawan di luar, itu perkara biasa. Jika berpusing pasti akan berjumpa semula kerana persahabatan akan tetap ada. Itu yang menjadikan kami profesional." tambahnya lagi.
Harimau Selatan mengesahkan status mereka selaku jaguh futsal tanah air dengan menjulang trofi Piala Futsal Malaysia selepas menewaskan Selangor FC dengan keputusan 3-2 pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram