Kes tekap seterika di UPNM: Tiada unsur buli, hanya gurau spontan — Polis KL


  • 112
  • Selasa, 05 Nov 2024

Pada 30 Oktober lalu, media melaporkan seorang pegawai kadet tahun dua di ALK UPNM dipercayai menjadi mangsa buli dan dera.

GURAUAN secara keterlaluan dipercayai menjadi motif di sebalik dakwaan kes buli dan dera seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu adalah spontan dan tidak bermotifkan dendam atau pergaduhan.

Menurutnya, tiada tangkapan dibuat berikutan pihaknya sudah memperoleh bahan bukti dan keterangan daripada semua yang terbabit.

BACA LAGI: Bapa Zulfarhan sedih lihat kes buli berulang, ramai desak rombak serta-merta pengurusan tertinggi UPNM

BACA LAGI: Polis siasat kes buli tekap seterika libat pelajar UPNM

tekap

Siasatan awal mendapati kejadian itu adalah spontan dan tidak bermotifkan dendam atau pergaduhan. ― Facebook

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua pelajar lelaki tersebut bercakap antara satu sama lain ketika kejadian.

“Kejadian berlaku tanpa motif apabila suspek bertanya kepada mangsa sama ada pernah cuba atau tidak (seterika) yang panas.

“Tiada motif sebenarnya, tidak ada dendam, pergaduhan atau buli. Hanya bergurau, nak kata ragging tak juga, itu bukan ragging," katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah jenayah seksual dan penipuan dalam talian di Kepong, Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, siasatan hampir selesai selepas polis merekodkan keterangan 16 individu termasuk pegawai kadet, jurulatih, rakan sebilik dan individu yang merakam kejadian itu.

Ujarnya, kertas siasatan berhubung kejadian itu juga sudah diserahkan Jabatan Peguam Negara dan pihaknya sedang menunggu arahan lanjut.

"Laporan perubatan masih belum diperoleh. Ia boleh digunakan oleh siasatan dan pendakwaan untuk buat apa apa keputusan awal.

“Setakat ini kita belum terima namun itu tidak menghalang untuk kita katakan kertas siasatan sudah lengkap.

“Ia bergantung kepada kes, tangkapan dalam apa-apa sahaja siasatan tidak semestinya ditangkap pada masa itu, boleh juga ditangkap dan terus tuduh di mahkamah,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, media melaporkan seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli dan dera.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan kemudian mengesahkan kejadian melibatkan mangsa yang dibuli dan melecur pada dada akibat ditekap seterika seperti yang tular di media sosial. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram