Kes buli tekap seterika UPNM, polis rakam keterangan pelaku, tiada tangkapan dibuat


  • 112
  • Sabtu, 02 Nov 2024

Polis telah mengambil keterangan pelaku yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli pegawai kadet UPNM.

POLIS telah mengambil keterangan pelaku yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan bahawa rakaman percakapan diambil pagi Sabtu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Begitupun, tiada tangkapan dibuat oleh pihak polis.

"Kenyataan suspek telah diambil. Polis akan memanggil saksi yang juga rakan sebilik mangsa pada sebelah petang ini. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

BACA LAGI: Polis siasat kes buli tekap seterika libat pelajar UPNM

BACA LAGI: [VIDEO] Tunjuk 'macho' depan pasangan tumbuk pemandu e-hailing, lelaki Indonesia pilih jalan berdamai

UPNM

Keadaan mangsa buli kali kedua selepas insiden arwah Zulfarhan. ― Facebook

Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai kadet di UPNM dibuli penuntut senior yang memintanya menggosok baju sebelum mangsa ditekap dengan seterika.

Ia berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa berusia 20 tahun kira-kira pukul 8.23 malam Jumaat.

Susulan itu, polis kini memulakan siasatan terhadap kes buli dan dera yang berlaku di UPNM.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima, kejadian dikatakan berlaku pada 22 Oktober lalu pada pukul 11.45 malam di bilik asrama UPNM. ― The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram