Polis siasat kes buli tekap seterika libat pelajar UPNM


  • 112
  • Sabtu, 02 Nov 2024

Razarudin Husain mengesahkan bahawa siasatan tersebut akan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

POLIS telah memulakan siasatan mengenai kes buli dan penderaan yang melibatkan seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) oleh seorang penuntut senior.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan bahawa siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, siasatan itu dimulakan selepas menerima satu laporan daripada mangsa berusia 20 tahun pada pukul 8.23 malam Jumaat.

BACA LAGI: Bapa Zulfarhan sedih lihat kes buli berulang, ramai desak rombak serta-merta pengurusan tertinggi UPNM

BACA LAGI: [VIDEO] Tunjuk 'macho' depan pasangan tumbuk pemandu e-hailing, lelaki Indonesia pilih jalan berdamai

UPNM

Keadaan mangsa buli kali kedua selepas insiden arwah Zulfarhan. ― Facebook

“Pada hari kejadian, pelajar senior yang juga pegawai kadet tahun empat meminta mangsa untuk menggosok baju kerja miliknya.

“Secara tiba-tiba, pelajar senior berusia 22 tahun itu mengambil seterika dipegang pengadu sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanan (mangsa) sebanyak satu kali,” katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin menjelaskan bahawa mangsa mengalami kecederaan melecur yang menyebabkan pengadu terkejut dan menjerit.

“Pada waktu kejadian, ada beberapa penuntut senior di dalam bilik tersebut,” tambahnya.

Beliau juga menyatakan bahawa rakaman percakapan pengadu telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

“Pengadu diminta untuk menjalani rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya,” ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menyerahkan kepada PDRM untuk menyiasat kes buli yang melibatkan seorang pegawai kadet di UPNM.

Beliau menekankan bahawa budaya buli di universiti harus dihentikan kerana ia menyebabkan penganiayaan kepada mangsa.

Kelmarin, Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, menyatakan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut. ― Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram