KES buli dalam kalangan dalam kalangan pelajar kini dilihat semakin membimbangkan apabila berlaku lagi kejadian sama melibatkan seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi, Selangor pada Rabu lalu.
Kejadian kali kedua itu tular selepas kes kematian Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang juga penuntut UPNM dibuli, dipukul dan diseksa menggunakan seterika hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali pada 2017.
Terkejut dengan situasi itu, bapa arwah Zulfarhan, Zulkarnain Idros tidak menafikan bahawa dia dan seluruh keluarganya sedih dan kecewa dengan kejadian yang berlaku.
BACA LAGI: ATM sahkan pelajar UPNM dibuli senior, badan melecur ditekap seterika
Keadaan mangsa buli kali kedua selepas insiden arwah Zulfarhan. ― Facebook
Zulkarnain pada masa sama meluahkan bahawa kejadian anaknya yang perlu menjadi pengajaran itu seharusnya tidak boleh berulang lagi.
Dia turut mennggesa pihak universiti untuk memandang serius terhadap kes buli yang kedua itu walaupun ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kematian.
Menyokong saranan itu, rata-rata warga maya juga tidak terlepas membuat gesaan terhadap pihak berwajib untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kes buli di UPNM.
Mengulas lanjut, pengguna akaun Facebook Zaharin Mohd Yasin berkata, pihak kementerian perlu turut sama bertindak tegas dengan pihak pengurusan tertinggi di universiti itu.
"Selagi Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kamenterian Pengajian Tinggi (KPT) tidak bertindak tegas dengan pengurusan tertinggi UPNM, kes dera akan berterusan selagi ada pengurusan yang sama.
"Jika saya, saya akan tukarkan atau berhentikan kerja serta-merta Naib Chanselor dan kesemua Timbalan Naib Chanselor.
"Jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh lakukan tindakan menukarkan satu balai jika berlaku perkara serius demikian, Kenapa tidak UPNM?," katanya.
Ada juga yang menyarankan agar pihak UPNM mengubah sistem penggunaan barang-barang berbahaya seperti seterika di bilik asrama untuk mengelakkan penyalahgunaannya.
"Boleh dah rasanya buat satu bilik untuk kegunaan seterika. Sentiasa di pantau setiap masa jumlah seterika tersebut. Kuncikan bila tengah malam. Biar nampak menyusahkan daripada susah kemudian hari," komen Achyk Suhai. ― Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram