SERAMAI 16 individu melibatkan mangsa, suspek, penuntut dan kakitangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selesai dirakam keterangan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan bahawa keterangan itu bagi membantu siasatan berkaitan kes seorang pegawai kadet yang dibuli dan ditekap dengan seterika pada badan oleh penuntut senior pada 22 Oktober lalu.
Rusdi berkata, keterangan mereka adalah penting untuk membantu siasatan yang dijalankan bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan.
BACA LAGI: Polis siasat kes buli tekap seterika libat pelajar UPNM
"Setakat ini, 16 orang telah diambil keterangan. Laporan perubatan masih belum selesai," katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa berusia 20 tahun itu pukul 8.23 malam Jumaat.
Beliau berkata, pada hari kejadian, pelajar senior yang juga pegawai kadet tahun empat meminta mangsa untuk menggosok baju kerja miliknya.
Secara tiba-tiba, pelajar senior berusia 22 tahun itu mengambil seterika dipegang pengadu sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanan (mangsa) sebanyak satu kali.
Mengulas lanjut, Razarudin menjelaskan bahawa mangsa mengalami kecederaan melecur yang menyebabkan pengadu terkejut dan menjerit.
Beliau juga menyatakan bahawa rakaman percakapan pengadu telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras. ― The Star/JUSTIN ZACK
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram