Tak ikut piawaian, timbul isu keselamatan punca JPJ keluar notis panggil semula hampir 4,000 model Alza, Arus, Honda CB350RS


  • 112
  • Ahad, 03 Nov 2024

Perodua Aruz dan Alza merupakan dua model yang paling banyak ditarik balik oleh JPJ berikutan beberapa isu yang timbul.

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan arahan untuk menarik balik sebanyak 3,722 kenderaan merangkumi beberapa model Perodua Alza, Aruz dan Honda CB350RS atas isu keselamatan dan pematuhan.

Dalam kenyataan dikeluarkan, JPJ mengumumkan arahan itu diguna pakai kepada model yang dikeluarkan tahun ini, melibatkan 2,518 unit Perodua Alza, 1,139 unit Perodua Aruz dan 65 buah motosikal jenis Honda CB350RS.

Menurut jabatan itu, pemeriksaan mendapati sebahagaian model tidak menepati piawaian ditetapkan selain dua isu berbeza sudah dikenal pasti.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga kanak-kanak maut, kereta Perodua Alza terjunam dalam sungai

BACA LAGI: Tak sempat elak Alza masuk laluan tiba-tiba, pemain bola sepak maut nahas 3 kenderaan

WhatsApp Image 2024-11-03 at 7.25.23 PM

Ketinggian lampu hadapan Perodua Alza (kiri) dan Aruz tidak menepati piawaian JPJ.

"Bagi Perodua Alza model—1500 X (CVT), 1500 H (CVT) dan 1500 AV (CVT), lampu hadapan tidak menepati peraturan ketinggian yang ditetapkan dari segi penjajaran. Isu sama turut dihadapi Perodua Aruz model 1500 X dan 1500 AV.

"Bagi motosikal jenis CBR350RS pula, masalah dikenal pasti pada meter kelajuan yang boleh menyebabkan isu lebih besar terhadap sistem brek cegah kunci (ABS), pengawalan cengkaman dan meter itu sendiri," tulisnya.

JPJ turut mengingatkan supaya pengguna kenderaan yang terkesan dengan arahan itu supaya segera menghubungi Perodua Manufacturing Sdn Bhd dan Boon Siew Honda Sdn Bhd bagi urusan pemeriksaan.

Komponen yang didapati rosak akan digantikan secara percuma dengan kos akan ditanggung sepenuhnya pengeluar bertanggungjawab bagi memastikan pengguna tidak dikenakan caj tambahan.

Mereka juga boleh hadir ke mana-mana pusat perkhidmatan yang ditetapkan di seluruh negara secara walk-in secara segera supaya mengelak sebarang isu keselamatan di atas jalan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram