JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Operasi Khas Motosikal 2024 selama dua bulan bermula Jumaat hingga 31 Disember ini di seluruh negara susulan peningkatan kes kemalangan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan itu dilakukan susulan 1,908 atau 70 peratus kematian melibatkan motosikal direkodkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Bagi menyasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ketiga dan keempat tahun 2024, strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa.
BACA LAGI: [VIDEO] Sampai 3 kereta berhenti mengejut cuba elak budak kecil main sendirian di tengah jalan
BACA LAGI: Lelaki Myanmar maki hamun polis Malaysia di Tiktok positif syabu, kena reman 4 hari
"Sehubungan itu, untuk mencapai objektif keseluruhan operasi ke arah meminimumkan kadar kemalangan dan kematian, pihak JPJ akan memfokuskan kepada lapan kesalahan utama seperti tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan (LKM) atau lesen tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan kesalahan lain (teknikal).
"Selain itu pemilik JPJ akan turut mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang melanggar isyarat lalu lintas, mengubahsuai kenderaan secara extreme, tidak memakai topi keledar dan mereka yang terlibat dalam lumba haram," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada masa sama, JPJ turut memohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang serta pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya.
Usaha ini juga adalah untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM).
Pihak JPJ turut menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus atau real time menerusi Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel [email protected] berserta dengan butiran lengkap aduan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram