Pentingnya simpanan ibu bapa, pelajar yatim piatu di UiTM dapat 'survive' hingga akhir semester


  • Massa
  • Ahad, 03 Nov 2024

Ibu bapa disarankan untuk membuat simpanan wang agar dapat memberi peluang pendidikan berkualiti kepada anak-anak. — Gambar hiasan/Agensi

DALAM dunia penuh pancaroba ini, kepentingan simpanan ibu bapa untuk pendidikan anak-anak tidak boleh dipandang remeh.

Pendidikan yang berkualiti merupakan asas bagi kejayaan masa depan serta simpanan kukuh dapat membantu membantu memastikan anak-anak memiliki peluang terbaik demi mencapai cita-cita mereka.

Simpanan juga dapat membolehkan anak membiayai pelbagai keperluan pendidikan seperti yuran, buku, keperluan harian dan aktiviti kokurikulum apabila kehilangan ibu bapa.

BACA LAGI: [VIDEO] Usaha kecil tapi impak besar, ramai doakan ‘Abang Bas’ tolong buang air banjir

BACA LAGI: Desak WFH musim banjir, ramai terlupa PdPR sudah cukup susahkan ibu bapa dan guru

6104889119403524404

Amirah yang tidak berputus asa melanjutkan pengajian walaupun kehilangan kedua ibu bapanya.

Dengan kos pendidikan yang semakin meningkat, simpanan wang bantu mengurangkan beban kewangan anak-anak serta mengelakkan risiko terbeban dengan hutang.

Mengakui perkara itu, Amirah Zahidah Shafi'e, 22, yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Muzik (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor menzahirkan rasa syukur dapat melanjutkan pelajaran dengan lancar.

Pelajar semester akhir itu juga sempat berkongsi pengalaman dan pandangannya tentang kepentingan membuat simpanan dalam kalangan ibu bapa.

Sebagai seorang yang kehilangan kedua orang tua ketika usianya masih muda, Amirah tidak menafikan ia memberi kesan mendalam terhadap hidupnya.

Ketika ditanya tentang caranya menampung kos perbelanjaan, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan sejak memasuki semester pertama.

6104889119403524405

Amirah (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sekelasnya di UiTM.

Malah, Amirah bersyukur dapat bertahan hingga hampir penghujung semester dengan menggunakan simpanan wang arwah ibu dan bapanya yang ditinggalkan buat menampung hidup dua beradik itu.

"Sebelum ini, ibu bapa saya yang mampu tampung kos, tetapi bila mereka tiada, saya terpaksa gunakan simpanan yang mereka ada untuk saya teruskan pengajian.

"Ia sedikit sebanyak dapat bantu saya untuk bayar segala kos dan beli barang keperluan harian di UiTM.

"Disebabkan itu, ibu bapa perlu menyimpan untuk masa depan anak-anak sebab pendidikan adalah tunggak utama untuk kerjaya dan kehidupan mereka," katanya kepada Majoriti.

Terkesan dengan pemergian ibu bapanya, Amirah kini juga sedang bertarung melawan gangguan mental yang dihadapinya.

Meskipun berdepan dengan cabaran, mahasiswa ini menunjukkan ketabahan dan harapan untuk pulih dan mencapai cita-citanya sebagai pengurus dalam industri muzik.

6104889119403524403

Amirah (kiri) dan Muhammad Nabil (kanan).

"Bapa saya dah meninggal lama, ibu pula pergi baru dua bulan lalu akibat kanser perut. Jadi, saya banyak habiskan masa di hospital untuk rawatan.

"Selepas kehilangannya saya berdepan dengan masalah kemurungan dan sekarang masih dapatkan rawatan untuk Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

"Saya sedang dalam proses untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan. Ini adalah perjalanan yang sukar, tetapi saya tidak akan berputus asa," luahnya.

Perubahan hidup itu sekali gus membuatkan Amirah lebih menghargai insan-insan di sekelilingnya termasuk satu-satu adik lelakinya, Muhammad Nabil Aiman Shafi'e, 19, apabila pulang ke rumah di Tampin, Negeri Sembilan.

Menurutnya, dengan sokongan dan bantuan saudara-mara terdekat, ia secara tidak langsung membantu menghilangkan kesunyian Amirah dan adiknya di rumah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram