Sisi lain bekas arkitek, julang seni tradisi animasi ke persada dunia dengan Gadis Batik


  • Bizz
  • Selasa, 22 Okt 2024

Irwan merupakan pengasas kepada The R&D Studio yang bertanggungjawab menghasilkan filem pendek animasi, Batik Girl. — Irwan Junaidy

MEMPUNYAI pasukan yang kecil bukan alasan untuk sesebuah organisasi daripada berusaha bagi merangkul pencapaian yang besar.

Perkara itu terbukti melihat kepada pencapaian dikecapi The R&D Studio menerusi kejayaannya hasil penerbitan naskhah filem pendek The Batik Girl yang memenangi pelbagai anugerah dan mendapat perhatian di seluruh dunia.

Tidak sekadar itu, filem berkenaan turut menjadi inspirasi dan kebanggaan buat Malaysia, selepas ia ditayangkan kepada umum di YouTube pada 2019.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Batik Girl adalah animasi dua dimensi (2D) indah yang memaparkan jalan cerita ringkas tetapi menyentuh mengenai keluarga, cinta dan kehilangan, sambil mempromosikan seni batik tradisional Malaysia.

Berlatarkan dua dimensi – dunia sebenar dan dunia fantasi – Gadis Batik (Batik Girl) menjejaki kisah seorang gadis kecil dan neneknya yang tinggal di sebuah perkampungan pantai di Terengganu.

Ketika sedang berjuang menghadapi tragedi yang berlaku terhadapnya, gadis muda itu mendapati dirinya tertarik ke dunia ajaib dalam lukisan batik.

400450

Berlatarkan dua dimensi – dunia sebenar dan dunia fantasi – Gadis Batik menjejaki kisah seorang gadis kecil dan neneknya yang tinggal di sebuah perkampungan pantai di Terengganu.

Berkunjung ke pejabat studio The R&D Studio yang terletak di Pusat Komersial Pacific Place di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, ia tidaklah mewah.

Malah premis tersebut kelihatan cukup minimalis dengan beberapa poster, karya seni, rak buku dan stesen komputer yang menarik.

Tetapi apa yang jelas adalah semua orang dilihat sedang menikmati pekerjaan mereka dan secara kreatif tekun mengerjakan perkara yang sedang dilakukan.

Ketua yang juga pengasas The R&D Studio, Irwan Junaidy – seorang bekas arkitek bertukar kerjaya yang menjadi pengarah, pembuat filem dan pereka bentuk - dilihat tenang berbincang bersama pasukannya dan memberikan kebebasan kepada anak buahnya bagi melaksanakan kerja kreatif.

Hal yang sama juga dapat disaksikan melihat kepada rakan kongsinya Zuhri Aziz, yang bertanggungjawab mengendalikan bahagian perniagaan studio penerbitan terbabit.

“Kami mula bekerja agak lewat. Ada yang masuk tengah hari,” kata Irwan sambil tersenyum menjelaskan bahawa tiada siapa yang suka terperangkap dalam kesesakan.

“Tetapi ada satu tempoh apabila semua orang berada di pejabat apabila kami mengadakan apa yang kami panggil mesyuarat cerita, apabila kami melemparkan idea dan bercakap tentang projek berbeza yang sedang kami usahakan,” katanya.

R&D ialah syarikat penciptaan kandungan yang mengambil daripada nama singkatan daripada Rogue dan Dodgy, iaitu nama panggilan kepada pengasasnya.

“Kami mencipta kandungan untuk TV, dalam talian, untuk penerbitan. Kami benar-benar bekerja platform yang pelbagai.

"Kami sebuah syarikat kecil tetapi kami melakukan banyak kerja yang berbeza. Kami adalah antara sebahagian daripada segelintir syarikat di Malaysia yang melakukan kerja untuk Disney,” katanya yang merujuk kepada siri TV, Wizards On Warna Walk, iaitu siri penerbitan panjang pertama Disney di Asia Tenggara.

“Kami melakukan segala-galanya daripada lakonan hingga penggambaran di Pinewood (Iskandar Studios di Johor) dan pasca produksi. Kami cukup berbangga kerana sebuah syarikat kecil seperti kami dapat melakukan semua ini,” katanya sambil menambah peluang tersebut dilihat meningkatkan lagi standard syarikatnya ke satu tahap lebih tinggi.

Dalam pada itu, Irwan mengakui, untuk selari dengan piawaian global yang lebih tinggi, penggunaan teknologi cukup memainkan peranan penting khususnya dalam melaksanakan beberapa perkara yang hanya boleh dibuat oleh teknologi tertentu.

Sebelum menubuhkan The R&D Studio, Irwan, 45, terlebih dahulu bekerja di sebuah syarikat permainan interaktif yang bermula dari saiz kecil sebelum berkembang dan melibatkan pengambilan lebih ramai kakitangan.

Bagaimanapun, pengalaman tersebut memberikannya pendedahan terhadap kebaikan dan keburukan yang diperolehi oleh syarikat dengan saiz yang berbeza.

Bersama The R&D Studio, Irwan berkata, beliau lebih selesa untuk menerapkan konsep kerja bersama dengan pasukan yang lebih kecil.

"Selepas keluar daripada syarikat saya sebelum ini, saya memberitahu diri bahawa saya hanya akan bekerja di syarikat yang lebih kecil supaya saya boleh menumpukan 90 peratus masa untuk melakukan kerja kreatif dan 10 peratus untuk mengurus orang dan bukannya sebaliknya.

"Dengan cara ini saya dapat melakukan perkara yang menarik dan saya tidak perlu risau tentang keadaan syarikat itu," ujarnya.

Di sebalik saiz pasukannya yang kecil, ia tidak menghalang mereka untuk mencipta sesuatu yang menakjubkan secara keseluruhan sama ada daripada segi visual, bunyi, muzik dan teknikal.

Buktinya dapat dilihat menerusi penghasilan karya filem pendek Gadis Batik yang sudah mendapat pengiktirafan dan memenangi pelbagai anugerah dari seluruh dunia apabila ditayangkan sekurang-kurangnya di 26 festival antarabangsa.

Antaranya yang dimenangi pada 2019 adalah anugerah Filem Animasi Pendek Terbaik Festival de Largos y Cortos de Santiago di Chile dan anugerah Honorable Mention in Audience Favourite di Florida, Amerika Syarikat.

“Untuk Batik Girl, kami melakukan sebahagian besar pra-pengeluaran meliputi rekaan dan cerita. Kami juga melakukan proses pasca penerbitan.

Designers working on Batik Girl, November 19, 2019. GLENN GUAN/The Star

Irwan berkata, beliau lebih selesa untuk menerapkan konsep kerja bersama dengan pasukan yang lebih kecil.

“Tetapi bagi proses pertengahan, iaitu untuk animasi watak, kami bekerjasama dengan syarikat animasi, Tudidut Studio; dan untuk muzik kami bekerjasama dengan fakulti muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Semasa pasca produksi, iaitu penyuntingan, kami menyusun semua elemen yang berbeza – visual, animasi, muzik – dan menambah beberapa kesan khas untuk menyempurnakannya,” jelas Irwan sambil menambah bahawa The R&D Studio sering bekerjasama dengan studio lain.

Irwan berkata, model inilah yang diusahakannya sejak beberapa tahun lalu dan ia amat sesuai dengan syarikatnya kerana mampu mengekalkan kecekapan pasukan yang kecil dan mudah diurus.

“Kami juga mengupah tenaga kerja yang mempunyai pelbagai set kemahiran. Jadi dalam Batik Girl, sebagai contoh, kami mempunyai tiga orang yang terlibat dalam pra-penerbitan yang juga mengendalikan pasca-penerbitan.

"Malah salah seorang tenaga kerja yang terlibat dalam proses pasca penerbitan bertanggungjawab mencipta semuanya daripada urutan waktu sebenar, latar belakang dan lukisan,” katanya.

Dari lakaran ke layar

Walaupun berdurasi hanya sembilan minit, pembikinan filem pendek Batik Girl mengambil banyak tenaga untuk diselesaikan termasuk bagi proses penyelidikan.

Idea pembinaan kepada cerita tersebut mula timbul di Bologna, Itali, ketika Irwan dan penulisnya, Heidi Shamsuddin berpeluang bertemu pasangan Kaukasia yang tertarik dengan alas meja batik semasa pesta buku pada 2017.

“Kami memutuskan untuk menggunakan batik sebagai titik permulaan kami. Kami ingin berkongsi bahagian budaya kami yang kaya ini, yang kita ambil mudah, untuk dikenali di seluruh dunia.

“Kami merasakan ia adalah sesuatu yang patut kami lakukan sebagai rakyat Malaysia. Oleh itu, kami melakukan banyak kajian, melukis banyak batik, mengembara ke Terengganu berulang kali dan menemu bual orang bagi menghasilkan cerita dan visual.

"Kami terpaksa melakukannya berulang kali sebelum kami membuat sesuatu yang kami rasa sudah baik menyerahkannya kepada filem festival," kongsi Irwan.

6062048998174343404

Sebelum menubuhkan The R&D Studio, Irwan, 45, terlebih dahulu bekerja di sebuah syarikat permainan interaktif. — Irwan Junaidy

Menurutnya, keseluruhan proses tersebut mengambil masa 12 bulan.

Berkongsi mengenai proses yang perlu dilalui untuk menghasilkan karya tersebut, Irwan berkata, peringkat awal projek tersebut bermula dengan penciptaan jalan cerita.

"Daripada pada cerita, kami pergi ke proses mengaplikasikannya ke papan cerita ketika mahu mula melakukan visual utama. Pada peringkat ini ia hanya melibatkan gambar.

"Selepas kesemua proses itu selesai, kami menyerahkannya kepada urusan seterusnya kepada juruanimasi. Dalam kes Batik Girl, kami menggunakan perisian baharu (Moho Anime Studio) yang membolehkan kami melakukan beberapa pergerakan kamera yang canggih," katanya.

Irwan cukup teruja pada ketika ini apabila dia menggambarkan syot tertentu dalam Batik Girl yang menggunakan syot video VR 2D 360°, diilhamkan daripada adegan dari The Avengers.

Dia berkata: "Semasa peringkat papan cerita, saya bertanya sama ada saya boleh mengambil rakaman seperti itu, apabila Avengers dikumpulkan bersama semasa adegan pertempuran dan kamera menyorot di sekeliling mereka.

“Tenaga kerja animasi berkata mereka membaca tentang perisian yang boleh melakukannya, dan meminta selama dua minggu untuk mencuba dan akhirnya mereka melakukannya!" ujarnya.

Irwan juga mengetahui segala-galanya mengenai filem pendek tersebut, daripada adegan angin dan ombak, telur Easter serta keaslian seni bina Terengganu.

Begitu juga dengan muzik. Walaupun ia dihasilkan dengan kerjasama UITM selaku pembangun runut bunyi untuk filem terbabit, keputusan akhir mengenai pemilihan muzik masih terletak di tangan Irwan.

6062048998174343379

Antara tenaga kerja yang menjadi tulang belakang kepada penghasilan Batik Girl.

"Saya tidak mempunyai sebarang latihan muzik formal, tetapi saya seorang pemukul dram dalam kumpulan muzik sekolah," katanya secara bergurau.

“Saya suka mengkaji bagaimana orang melakukan sesuatu. Dan beberapa perkara yang paling diingati yang pernah saya lihat (atau dengar) ialah apabila wujudnya konsep.

"Sebagai contoh, dalam Benjamin Button, di mana penuaan diterbalikkan, terdapat bahagian apabila muzik itu pergi ke hadapan kemudian ke belakang... ia adalah kord yang sama tetapi secara terbalik. Saya fikir itu agak bijak.

"Atau dalam Inception, di mana dua bar pertama (muzik yang dimainkan benar-benar perlahan untuk mencerminkan waktu bermimpi," katanya.

Mengenai seni bina model platform 3D yang digunakan, Irwan, yang memegang ijazah dan diploma pasca siswazah dalam bidang seni bina dari Britain menganggap beliau memilik kemahiran yang diperlukan.

“Kami membuat model 3D tentang rupa rumah dan bengkel batik, dan kemudian mengecatnya. Kami meletakkan lantai dan tiang, seperti yang dilakukan oleh seorang tukang kayu.

“Kami mahu segala-galanya mengenainya menjadi nyata. Jika seseorang melihat pada bahagian sendi, mereka akan perasan ia dibina dengan betul.

"Kami mengambil masa dan meneliti segala-galanya dengan terperinci, dan kami sangat berbangga dengan apa yang kami lakukan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram