'Gunakan tanpa was-was', Nizam Teh rancang kebangkitan legasi Zaitun


  • Bizz
  • Sabtu, 02 Nov 2024

Nizam (kiri) bersama Atikah dan juga Presiden Kumpulan Zaitun, Datuk Seri Mohd Kamal Teh. — Zaitun

BAGI mereka yang membesar sekitar tahun 90-an, slogan iklan Gunakan Tanpa Was-Was pastinya adalah sesuatu yang tidak asing dalam memori mereka.

Ini kerana iklan menggunakan slogan tersebut kerap kali muncul baik di kaca televisyen mahupun corong radio.

Sebagai satu-satunya jenama produk penjagaan diri yang mempunyai status halal ketika itu, Zaitun tentunya tidak memiliki masalah untuk mendekati hati pengguna tempatan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Sewaktu zaman kemuncak perniagaannya, Zaitun memiliki lebih 300 jenis produk di pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Namun, jenama tersebut tidak terkecuali daripada cengkaman kegawatan ekonomi dalam krisis kewangan 1998 apabila menerima nasib seperti kebanyakan syarikat tersenarai dalam Bursa Saham pada waktu itu.

Zaitun dikhabarkan, mengalami kerugian akibat beberapa faktor seperti masalah pengedaran produk dan perubahan tadbir urus korporat.

Screenshot 2024-10-29 135847

Nizam mula memegang jawatan selaku ketua pengawai eksekutif pada Mei tahun lalu.

Kini, selepas lebih dua dekad menyepi dalam pasaran tempatan, jenama itu kembali dengan wajah dan formulasi diperbaharui, sekali gus bersedia menawarkan produk penjagaan dan kecantikan berkualiti mengikut momentum tersendiri.

Penampilan iklan ubat gigi Zaitun mula terpampang di papan-papan iklan sekitar lebuh raya utama negara dengan wajah baharu.

Penyambung legasi syarikat Zaitun Industries diasaskan Datuk Seri Mohammad Eusuff Teh pada 1978 juga dilihat aktif membuat promosi di laman sosial seperti TikTok dan Instagram.

Tugas untuk memberikan nafas baharu kepada jenama Zaitun digalas oleh anak muda berkarisma dengan memegang jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif Zaitun iaitu Nizam Mohd Kamal Teh yang baru berusia 27 tahun.

Sebagai individu yang masih segar dan bersemangat anak muda, Nizam memiliki pandangan yang optimis terhadap potensi syarikatnya yang pernah menjadi perintis bagi produk halal Muslim dalam industri kelengkapan peribadi dan kosmetik mempunyai daya tarikan tersendiri.

Cukup sinonim dengan produk ubat gigi yang dijamin halal, Nizam berkata, formulasi jenama itu yang berkualiti dan terjamin keselamatannya menjadi faktor tarikan.

Nafas baharu

Jelas anak keempat daripada enam beradik itu, Zaitun juga menyasarkan pengguna bukan sahaja dalam kalangan Muslim, tetapi semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

“Formulasi baharu bakal memberi pelbagai manfaat bagi penjagaan mulut. Produk lain dijangka turut diperkenalkan pada masa akan datang,” jelasnya.

Masih berpegang pada paksi utama, Zaitun mengeluarkan produk berkualiti pada harga berpatutan dan mampu milik supaya penjagaan kesihatan mulut dapat diterapkan.

Formulasi bahan digunakan untuk penghasilan ubat gigi Zaitun dengan wajah baharu memberikan kualiti penggunaan setara jenama terkenal sedia ada di pasaran.

Ia mengandungi bahan-bahan seperti kalsium karbonat, natrium lauril sulfida dan pudina yang membantu mengekalkan kesegaran mulut.

Jelas Nizam, kini Zaitun mengeluarkan dua jenis ubat gigi iaitu pemutih dan tambahan pudina.

Selain itu, ubat gigi kanak-kanak berperisa strawberi dan oren juga bakal dikeluarkan agar dapat menarik minat pengguna kecil tentang kepentingan penjagaan gigi dan mulut.

“Zaitun peka dengan keadaan ekonomi pengguna dan menawarkan produk pada harga serendah RM6.90 hingga RM8.90,” ujarnya.

Memiliki pengalaman dalam bidang pengiklanan, ujar beliau, Zaitun mula melancarkan kembali jenama dan produknya pada pertengahan tahun lalu.

Sebagai permulaan, pelaburan dalam pemasaran dikendalikan bagi menguar-uarkan kembalinya jenama itu dalam pasaran tempatan.

Sebagai graduan Pemasaran Perniagaan Antarabangsa, Taylor’s University Lakeside Campus, Subang Jaya, Selangor, beliau menggunakan ilmu ditimba untuk mengembangkan sayap jenama itu secara berfasa.

Salah satu kaedah yang digunakan adalah dengan menawan pasaran runcit di Semenanjung menerusi konsep pengedar.

Pada masa sama, kuasa pasaran digital turut dimanfaatkan untuk meningkatkan usaha meluaskan lagi pasaran di setiap kedai-kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara.

Sehingga kini, Zaitun mula membuat penampilan semula di media sosial dan bekerjasama dengan pelakon merangkap duta Zaitun, Atikah Suhaime.

Keputusan sukar

447969077_18031281902079789_6775311974368260385_n

Sehingga kini, produk ubat gigi Zaitun sudah dipasarkan di beberapa pasar raya seperti Lotus, NSK, Hero, Sogo, Segi Fresh dan rangkaian farmasi HealthLane. — Zaitun

Nizam memberitahu, perjalanan mengambil alih syarikat itu sebenarnya sudah bermula jauh lebih awal dan tidak seindah dibayangkan.

Ini kerana memegang jawatan besar bererti beliau turut memikul tanggungjawab setimpal.

“Saya menyambung legasi keluarga. Jadi, peranan dipegang bukan kecil, namun sikap suka dengan cabaran dan ingin tahu menyuntik keberanian.

“Setiap hari, selama enam bulan saya menghabiskan sekurang-kurangnya tiga jam bersama mentor juga bapa saya untuk merancang perjalanan syarikat,” kongsinya.

Disoal tentang pilihan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pegawai eksekutif pada Mei 2023, Nizam memberitahu, itu adalah pilihannya sendiri.

Sebagai legasi keluarga, anak muda itu mahu melihat jenama berkenaan kembali gah seperti yang pernah dikecapi.

“Saya yakin, menerusi pendekatan dan formula perniagaan kreatif, jenama ini sekali lagi dapat mengintai pasaran lebih luas,” ujarnya.

Sehingga kini, Zaitun sudah dipasarkan di beberapa pasar raya seperti Lotus, NSK, Hero, Sogo, Segi Fresh dan rangkaian farmasi HealthLane.

Visinya, di bawah kepemimpinan beliau, jenama itu dapat menembusi pasaran lebih hebat dan memikat pelanggan setia dan baharu.

Juga, dalam masa terdekat Nizam dalam perancangan menambah koleksi produk di bawah payung jenama itu.

Selain lima jenis ubat gigi, pihaknya merancang mengeluarkan beberapa produk lain seperti syampu dan sabun mandi.

Syarikat menyasarkan untuk menjual lebih sejuta ubat gigi pada tahun ini seiring dengan perancangan Zaitun yang sudah mula memasuki pasaran kedai runcit dan pasar raya besar di seluruh negara.

“Bukan mudah untuk menembusi pasar raya tempatan dan itu menjadi salah satu cabaran kami.

“Namun, kami percaya Zaitun akan terus mengeluarkan produk halal dan suci yang memenuhi keperluan,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram