SEBAGAI pemilik syarikat pereka dalaman, Khairul Najib Ibrahim sememangnya sangat teliti khususnya dalam pemilihan gaya, warna dan suasana ruang yang dibangunkan.
Ini kerana rekaan dalaman sesuatu tempat mempunyai kepentingan dan impak cukup signifikan terhadap mereka yang berada di dalamnya.
Mengambil inspirasi daripada itu menjadi punca menyebabkan Khairul untuk menerapkan citarasa ke dalam pusat kecergasannya miliknya, iaitu Arena Gym & Fitness (Arena Gym).
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Suasana di Arena Gym yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong.
Bermula daripada hiasan dalaman, aturan mesin kecergasan, kebersihan sehinggalah kepada penataan sistem audio bunyi yang baik.
Kesemua perkara tersebut diberikan pertimbangan secukupnya oleh Khairul bagi memastikan kepuasan dan keselesaan setiap pengunjung.
Disebabkan itu, berbeza berbanding gim lain, setiap pengunjung pastinya akan merasai perbezaan suasana dirasai apabila menjejakkan kaki ke premis berkenaan.
"Saya punya konsep itu ibarat kalau hotel itu ada apa yang kita panggil sebagai boutique hotel (hotel mewah), tapi untuk gim saya ini pun saya nak jadikan ia macam boutique gym," katanya kepada Majoriti.
Khairul Najib memulakan perniagaan Arena Gym yang terletak di Bandar Kinrara Puchong, Selangor pada 2017 selepas dia mengambil alih pusat kecergasan tersebut daripada seorang individu.
Sejak daripada itu, perusahaannya itu berkembang sehingga membolehkannya membuka satu lagi rangkaian di Puchong Prima selepas mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.
Menurut Khairul, idea untuk memberikan sentuhan peribadi itu tercetus bagi membolehkannya menjadi lebih berbeza berbanding kebanyakan pusat kecergasan lain yang beroperasi.
"Memandangkan saya ini orang pereka dalaman saya buat, waktu itu saya fikir kenapa saya tak buat gim ini ikut cita rasa saya. Saya mahu gim ini dijadikan seperti 'clubhouse' untuk orang relaks walaupun mereka hanya perlu bayar RM10 untuk masuk," ujarnya.
Khairul yang berasal dari Sitiawan, Perak berkata, konsep diketengahkannya itu sememangnya mendapat sambutan baik daripada pengunjung yang rata-ratanya menyatakan keterujaan dan cukup selesa apabila berkunjung ke Arena Gym.
Malah, bapa kepada empat orang anak itu mengakui tidak menyangka keputusannya untuk membuka pusat kecergasan tersebut yang bermula sekadar suka-suka dan minat kini boleh mendatangkan pendapatan yang agak lumayan.
"Saya tak sangka apa yang saya impikan dan cita-citakan terhadap pusat kecergasan saya ini adalah tindakan yang tepat kerana ramai sebenarnya pelanggan yang inginkan konsep sebegini.
"Jadi jangan terkejut kalau datang dekat Arena Gym, anda akan nampak ada orang menari sambil main gim. Ada kadang-kadang duduk lama lepas dah habis bersenam.
"Kadang-kadang yang datang tu kadang-kadang main gim 10 minit hingga 15 minit sahaja, lepas itu lebih banyak bersantai dengan kawan-kawan bersembang. Bila tanya, kenapa suka lepak sini, dia cakap sini tempat dia nak relaks," kongsinya.
Menurut Khairul Najib, pada waktu ini, jumlah pengunjung harian bagi kedua-dua pusat kecergasan diusahakannya adalah seramai 50 hingga 60 orang dengan jumlah keahlian bulanan sebanyak 300 orang.
Ujarnya, setiap cawangan Arena Gym dilengkapi dengan lebih 70 peralatan dan mesin kecergasan.
Perniagaan suka-suka
Suasana di cawangan kedua Arena Gym yang terletak di Puchong Prima.
Berkongsi kisah penglibatannya dalam perniagaan pusat kecergasan, Khairul Najib berkata, perkara itu berlaku tidak dirancang.
Ini kerana menurutnya, sejak daripada awal, dia bukanlah seorang yang gemar untuk pergi ke gim meskipun meminati aktiviti sukan.
"Saya ini daripada sekolah sampailah dah kahwin, saya memang jenis orang yang aktif bersukan di luar. Daripada bola sepak, badminton sampailah takraw, semua saya main. Sebab saya ini jenis orang yang tak suka duduk rumah atau lepak minum. Saya suka berpeluh.
"Tapi ada satu waktu pada 2016 bila saya dah sentiasa bekerja siang malam dan terlalu sibuk uruskan syarikat, masa terluang itu dah tiada. Bila jadi macam itu, baru saya mula pergi ke gim. Kebetulan waktu itu ada gim dekat rumah.
"Jadi bermula daripada situ juga saya belajar sikit-sikit sampai mula timbul minat. Dia jadi lagi obses bila nampak perubahan ketara pada diri saya antaranya dah mula jaga makan dan tidur," katanya.
Khairul Najib (tengah) bergambar bersama pengunjung di gim miliknya.
Ujarnya, perubahan tersebut berlaku dalam tempoh hampir setahun sebelum beliau kemudiannya mendapat peluang apabila pemilik gim yang sering dikunjunginya itu mencari pembeli untuk menjual premis tersebut pada 2017.
"Alhamdulillah gim ini daripada suka-suka dan sekadar minat, ia kini jadi antara perniagaan teras yang bagi pendapatan agak baik untuk saya," ujarnya yang mengambil keputusan untuk menjenamakan semula pusat kecergasan berkenaan selepas proses mengambil alih.
Dalam pada itu, Khairul Najib berkata, untuk memastikan kelangsungan perniagaan gim, antara aspek yang penting untuk ditekankan secara umum adalah pemilihan lokasi, persekitaran dan juga penyelenggaraan alat serta kemudahan.
"Lokasi paling penting. Kalau kawasan kita itu penduduknya pendapatan seerhana, Kita tak boleh letak harga pada kadar mahal. Begitu juga kemudahan lain seperti tempat letak kereta dan keadaan trafik di tempat sekitar.
"Kemudian kebersihan, susun atur dan kekemasan juga penting supaya keadaan gim sentiasa terbaik untuk pengunjung. Saya pun memang turun gim hari-hari setiap selepas habis kerja untuk pastikan perkara tersebut," ujarnya yang turut merancang menambah satu lagi rangkaian Arena Gym pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram