Memancing lebih puas, hobi terbaik anak muda elak ketagih gajet di Desa Melor Serendah


  • Massa
  • Sabtu, 12 Okt 2024

Hobi memancing membantu Ariq lebih aktif dan menggunakan masa terluang dengan lebih berfaedah.

SIAPA kata memancing merupakan aktiviti sia-sia, membuang masa atau tidak mendatangkan manfaat kepada si peminat.

Bagi sesetengah individu, memancing membantu mereka menenangkan fikiran lari dari realiti kehidupan buat sementara waktu.

Malah, ia juga boleh dijadikan sebagai hobi santai anak muda bersama keluarga dan rakan selain menghabiskan masa dengan gajet sepanjang hari.

BACA LAGI: 'Saya boleh terbang!', lelaki buta usia 77 tahun lawan rasa takut 'takluk' paragliding di KKB

BACA LAGI: Dipuji pimpin penumpang buta suami isteri pergi tandas, dapat gelaran 'Pemandu Bas Of The Year'

6059987886318664782

Ariq yang gemar memancing berbanding duduk di rumah untuk meluangkan masa lapang.

Maka, tidak hairanlah jika ada yang memilih untuk melakukan hobi tersebut sama seperti seorang kanak-kanak di Desa Melor, Serendah, Selangor.

Bagi Ariq Abassy Hazam Nor, 12, selain gajet atau bersiar-siar menaiki motosikal, memancing ikan merupakan hobi paling diminati sejak usianya lapan tahun lagi.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, aktiviti itu memberi kepuasan kepada dirinya apabila berjaya mengumpan dan menangkap pelbagai jenis ikan tidak kira di kolam pancing, longkang mahupun sungai.

"Saya minat memancing sebab bila dapat tarik ikan ke darat rasa sangat seronok," katanya kepada Majoriti.

Katanya, ia merupakan satu keseronokan berbeza ketika bermain permainan video menggunakan gajet.

6057736086504980793

Latifah (kiri) dan Hazam (kanan) bersama-sama meluangkan masa lapang dengan melakukan aktiviti memancing bersama anaknya.

Lebih menariknya apabila hobi berkenaan disokong penuh oleh kedua ibu bapanya, Hazam Nor Saleman, 53, dan Latifah Mohamed, 48, yang kadang-kala memancing bersama-sama pada waktu cuti.

Hazam turut mengakui bahawa anak bongsunya lebih berdikari dan tidak segan silu bergaul dengan masyarakat.

Masakan tidak, Hazam berkata, anak bongsunya itu sering melakukan hobi memancing bersama rakan tanpa perlu sentiasa ditemani dan pulang pada waktu ditetapkan.

Katanya, minat memancing Ariq itu sebenarnya mengalir daripada Hazam yang merupakan pemancing tegar sewaktu kecil.

“Saya dulu suka memancing, itu yang menurun sampai ke anak bongsu.

“Tambah pula depan rumah ada longkang dan airnya mengalir dari sungai berhampiran sampai ada macam-macam jenis ikan.

“Itu lagi membuatkan anak saya suka memancing, lebih seronok dapat tengok spesis ikan jarang jumpa,” katanya.

6057736086504980794

Berjaya menangkap spesis jarang jumpa seperti ikan ketutu memberi keseronokan kepada seisi keluarga itu.

Sebagai ibu, Latifah tidak menghalang minat anak lelakinya itu kerana ia dapat mengelakkan Ariq daripada ketagih terhadap gajet atau media sosial.

Katanya, meluangkan masa lapang dengan memancing lebih berbaloi terutamanya untuk generasi muda sekarang.

"Daripada main telefon pintar sahaj, baik isi masa dengan memancing.

“Ada masa ikan-ikan yang dia tangkap dibawa balik rumah, dimasak dah boleh jadi lauk untuk makan.

“Tetapi, Ariq kadang-kadang bagi juga ikan yang dah ditangkap kepada kawan-kawannya,” katanya.

Bagi Latifah, aktiviti itu juga dapat mengeratkan hubungan sesama penduduk dan membantu anak-anak muda melibatkan diri dalam program komuniti.

Justeru, kedua-dua mereka sentiasa menyokong apa jua minat anak-anak asalkan ia tidak membahayakan nyawa atau memudaratkan kesihatan fizikal mahupun mental. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram