KEMALANGAN maut yang melibatkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas dalam kejadian di Jalan Lama Kampung Purak dekat Papar, Sabah pada Ahad masih lagi menjadi bualan dalam kalangan warga maya sehingga kini.
Manakan tidak, melalui video tular terbaharu pada Isnin memaparkan kenderaan jenis Perodua Kembara tersebut remuk teruk terutama di bahagian penumpang.
Malah, melalui video tular berdurasi kurang seminit itu juga memaparkan motosikal mangsa hancur ekoran daripada impak kemalangan tersebut.
Dalam kejadian itu, penunggang motosikal lelaki berusia 34 tahun dan pemandu lelaki berusia 75 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran daripada kecederaan parah yang dialami oleh kedua-dua mangsa.
BACA LAGI: [VIDEO] Terlupa mesin masih beroperasi, pekerja kilang di China terbelah 2 dihimpit pemadat logam
Susulan itu, rata-rata warga maya menggesa pihak berkuasa tempatan bertindak mengambil langkah proaktif bagi mengelak kejadian sama berulang.
Apatah lagi, kejadian itu bukan kali pertama berlaku dan persimpangan itu juga dianggap persimpangan maut oleh penduduk tempatan.
Antara tiga langkah utama yang boleh dibuat dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya yang kerap berlaku di kawasan itu ialah pemasangan lampu isyarat di persimpangan tersebut.
Langkah ini dijangka dapat mengurangkan risiko perlanggaran akibat kenderaan tidak memberi laluan atau melanggar lampu isyarat merah.
Pada masa sama, ia akan memudahkan penduduk di sekitar Jalan Lama Kampung Purak untuk keluar daripada persimpangan atau membuat 'pusingan U' di kawasan tersebut memandang jalan raya itu juga melupakan laluan utama Lebuhraya Pan Borneo.
Selain itu, pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) atau sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) juga boleh diguna pakai.
Hal ini kerana, sekiranya AWAS diletakkan di lokasi yang strategik, ia mampu mengawal kelajuan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.
Langkah ketiga pula melibatkan pemasangan jalur rentas kuning atau merah di beberapa kawasan penting yang menjadi laluan utama.
Jalur rentas ini akan berfungsi sebagai peringatan kepada pemandu agar memperlahankan kenderaan dan lebih berhati-hati semasa melalui kawasan tersebut.
Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati, penunggang motosikal dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Keningau dan ketika kejadian dia berada di lorong laju sebelah kanan.
"Sebaik tiba di lokasi, sebuah kenderaan tiba berada di lorong bertentangan yang telah membuat pusingan U secara mengejut dan dilanggar oleh penunggang motosikal tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya," katanya pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram