KANAK-KANAK lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan sekitar bangunan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur ditemukan selamat awal pagi Selasa.
Bapa kepada budak lelaki tersebut Ibrahim Syed Mohammed Mossadeg berkata, anaknya Mohamad Aminuddin, 11, ditemukan oleh pihak polis pukul 1 pagi selepas dilaporkan hilang pada Isnin.
Memetik laporan Berita Harian, Aminuddin ditemukan dalam keadaan selamat di kawasan stesen transit aliran ringan (LRT) PWTC oleh pihak polis.
BACA LAGI : Murid lelaki berbaju merah jalur hijau hilang ketika sedia ke sekolah agama di Kuala Lumpur
BACA LAGI : Masih terbayang beg mayat mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali, 2 minggu Aliff bertarung emosi
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari Aminuddin sebaik dia dilaporkan hilang, semalam (Isnin)," katanya pada Selasa.
Tambah Ibrahim lagi, memang sudah rutin harian Aminuddin untuk menukar pakaian di tempat kerja ibunya sebelum ke kelas fardu ain memandangkan sekolahnya berhampiran dengan tempat kerja isteri.
"Selepas menukar baju, Aminuddin meninggalkan beg di pondok pengawal sebelum pengawal keselamatan bertugas memaklumkan perkara itu kepada isteri dan apabila dia (isteri) bergegas ke pondok pengawal mendapati Aminuddin sudah tiada di kawasan berhampiran dan memaklumkan perkara itu kepadanya.
"Saya terus bergegas mencarinya di kawasan sekitar, namun tiada kelibatnya. Selepas usaha mencarinya gagal, saya terus membuat laporan berhubung kehilangan Aminuddin itu di Balai Polis Dang Wangi," katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang murid lelaki dilaporkan hilang ketika berada di kawasan tempat kerja ibunya.
Menerusi hantaran dikongsikan pengguna akaun Facebook Hafiz So pada Isnin, Aminuddin kali terakhir dilihat di lokasi terbabit.
"Anak ini sepatutnya berada di pejabat ibunya di LPPKN untuk bersedia ke sekolah agama.
"Pakaian yang dipakai kali terakhir dilihat adalah baju sukan Sekolah Agama merah berjalur hijau dan berseluar biru tua," tulisnya.
Dia juga memohon kerjasama orang awam untuk menyebarkan pengumuman itu agar mangsa dapat ditemui segera dengan selamat.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram