Pelajar universiti anak muda boleh tarik nafas lega miliki rumah, syarikat teknologi hartanah Malaysia tawar harga, pakej 'rahmah'


  • Bizz
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Khai mengasaskan LiveIn pada 2020 untuk menyelesaikan isu pemilikan rumah dalam kalangan generasi muda khususnya di bandar.

SEKIAN lama, isu ketersediaan rumah mampu milik khususnya dalam kalangan golongan muda merupakan satu masalah yang seakan-akan tidak berkesudahan di Asia Tenggara.

Laporan 2019 oleh Bank Pembangunan Asia menunjukkan bahawa 90 peratus harga rumah di 211 bandar di Asia Pasifik telah menjadi sangat tidak mampu dimiliki untuk isi rumah berpendapatan median.

Malah, kadar sewaan rumah juga dilaporkan melambung tinggi.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Melihat kepada masalah tersebut, syarikat teknologi hartanah, LiveIn ditubuhkan pada 2020 bagi menangani isu berkenaan.

"Dengan lebih 60 juta orang muda berpindah ke bandar untuk peluang yang lebih baik, ramai yang tidak mampu membeli rumah berkualiti, dan menerima penginapan sewa di bawah taraf sepatutnya.

“Sementara itu, pembangunan hartanah terus berkembang berikutan strategi pembangunan yang agresif oleh pemaju, membawa kepada kadar penghunian yang rendah dan pulangan yang tidak direalisasikan untuk pemilik hartanah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas bersama LiveIn, Keek Wen Khai.

LiveIn turut menyediakan rangkaian perkhidmatan komprehensif daripada reka bentuk dalaman kepada pengurusan pemasaran serta penyewaan.

LiveIn merupakan syarikat menawarkan penyelesaian terhadap jurang semakin melebar antara penawaran dan permintaan untuk penginapan jangka panjang dengan mengubah hartanah tidak dihuni kepada rumah mampu milik moden.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut menyediakan rangkaian perkhidmatan komprehensif daripada reka bentuk dalaman kepada pengurusan pemasaran serta penyewaan.

Melalui pendekatan ini, pemilik hartanah boleh mendapat manfaat daripada peningkatan kadar huni dan hasil sewaan lebih baik, manakala penyewa pula menerima pilihan perumahan mampu milik dan berkelengkapan penuh di lokasi sesuai.

Menyasarkan penyewa muda hari ini, LiveIn menyasarkan untuk memberi kehidupan berkualiti tinggi, dipertingkatkan dengan sewaan fleksibel, perkhidmatan bersepadu dan acara berfokuskan komuniti.

Syarikat yang berpangkalan di Malaysia itu juga mempunyai operasi di Thailand, Vietnam dan Indonesia.

“Menawarkan penyelesaian sewa mampu milik pada kira-kira AS$200 (RM874) sebulan, LiveIn telah mengalami pertumbuhan organik yang pesat, beroperasi hampir 10,000 bilik di empat negara dan berupaya menjana keuntungan,” kata Khai.

Walaupun model perniagaan sewa LiveIn pantas merekodkan prestasi memberangsangkan dalam tempoh empat tahun lalu, permulaan syarikat terbabit sebenarnya bermula sejak 2015.

LiveIn menyasarkan untuk memberi kehidupan berkualiti tinggi, dipertingkatkan dengan sewaan fleksibel, perkhidmatan bersepadu dan acara berfokuskan komuniti.

Dikenali sebagai Hostel Hunting, syarikat pemula itu dicipta dengan matlamat untuk membantu pelajar universiti mencari penginapan berpatutan dan berkualiti.

"Pada mulanya, perniagaan itu melibatkan pembelian hartanah, penyediaan perabot dan menyewakannya kepada pelajar.

"Bagaimanapun, model berasaskan aset ini tidak boleh dikembangkan dengan skala lebih besar. Akibatnya, kami beralih kepada model penyenaraian dalam talian yang mempunyai lebih 100,000 penyenaraian ketika kemuncaknya.

"Walaupun boleh dibesarkan skala operasinya, model ini tidak mampu memastikan penawaran perkhidmatan yang standard dam konsisten," ujarnya.

Situasi itu akhirnya membawa kepada penjenamaan semula secara rasmi perniagaan tersebut kepada LiveIn.

Tertumpu pada usaha sama dengan pemilik hartanah atas dasar perkongsian hasil, model ini menyediakan cara menguntungkan untuk membawa bilik berperabot mampu milik kepada golongan muda.

Menurut Khai, salah satu kelebihan diperolehi pemilik rumah apabila bekerjasama dengan LiveIn pihaknya mengambil tanggungjawab pengurusan hartanah, termasuk menampung kos operasi dan pengurusan penyewa dari awal hingga akhir manakala pemilik dikemas kini dengan laporan semasa.

“Malah semasa PKP (perintah kawalan pergerakan), kami dapat mengekalkan kadar kutipan sewa yang konsisten dan tinggi untuk pemilik hartanah,” katanya.

Dengan memacu aktiviti penjanaan permintaan untuk meningkatkan tahap kadar huni, LiveIn juga dapat memastikan pendapatan pasif jangka panjang berterusan untuk pemilik rumah.

“Pada 2023, LiveIn mencapai purata peningkatan pendapatan sebanyak 40 peratus untuk pemilik hartanah dan purata kadar huni melebihi 85 peratus," ujarnya.

Selain itu, nilai hartanah juga dinaikkan hasil daripada pengubahsuaian, pengurusan projek, peningkatan reka bentuk dalaman dan penyelenggaraan oleh LiveIn.

Bagi penyewa, akses kepada perumahan mampu milik yang serba lengkap membolehkan pelajar dan profesional muda mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

“Matlamat kami adalah untuk memperkasakan golongan muda di Asia Tenggara dengan memberi mereka kebebasan kewangan untuk mencapai matlamat hidup mereka.

"Penyewa kami telah melihat peningkatan luar biasa sebanyak 65 peratus dalam pendapatan boleh guna."

Beliau berkata, lokasi, kemampuan dan kemudahan adalah faktor utama bagi segmen pelanggannya apabila mencari sewaan jangka panjang.

Mengambil kira kepentingan tinggal berdekatan di tempat kerja dan hab pendidikan, hartanah LiveIn terletak di kawasan berhampiran pusat bandar dan kawasan pengajian tinggi seperti KLCC, Cyberjaya, Seputeh, Subang Jaya dan Kampar.

MKT BUILDINGS IMAGE - 16

Kediaman diuruskan di bawah LiveIn turut menyediakan kemudahan terbaik khususnya bagi memenuhi keperluan golongan anak muda. — LiveIn

"Kami menyediakan kemudahan yang selesa di dalam bangunan dan kerap menganjurkan aktiviti komuniti untuk mempromosikan rangkaian sosial yang kukuh di kalangan komuniti penyewa," katanya.

Pada Mei lalu, LiveIn mengumumkan ia telah melepasi AS$10.95 juta (RM47.86 juta) dalam pusingan pendanaan pra-Siri B dengan pelaburan lanjutan tambahan sebanyak AS$2.6 juta (RM11.36 juta) daripada Rakan Kongsi Pelaburan Korea.

Firma terbabit menyatakan bahawa pembiayaan itu akan mendorong pertumbuhannya di seluruh Asia Tenggara dan memacu matlamatnya untuk mewujudkan komuniti bertenaga dan mampu milik bagi golongan muda di Asia Tenggara.

"Kami menjangka menghadapi cabaran dalam memahami dan mengemudi perbezaan budaya dalam jangkaan pasaran semasa kami berkembang ke bandar dan negara baharu.

"Selain jangkaan penyewa yang berbeza, pemilik hartanah di negara yang berbeza juga mempunyai kelainan dalam kesedaran mereka tentang model sewa LiveIn," kata Khai.

Beliau juga menyatakan bahawa operasi di lokasi baharu turut hadir dengan perubahan daripada pelbagai saiz dan jenis bangunan yang berada di bawah kategori lebihan penawaran.

“Untuk menangani cabaran ini, kami akan menumpukan pada meningkatkan tahap penglibatan pemilik dan memperhalusi sistem kami untuk melancarkan dan menjalankan operas secara berkesan dalam pasaran baharu.

"Ini akan membolehkan kami berkembang secara mapan melebihi paras 10,000 bilik sambil mengekalkan penghunian tinggi di semua bilik kami," ujarnya.

LiveIn kini juga aktif dalam menjalin beberapa perkongsian strategik dengan pengendali untuk menambah pelbagai kemudahan seperti gim, ruang kerja bersama, perkhidmatan dobi, hiburan dan premis F&B ke bangunan bersepadu di bawah pengurusannya.

"Ia dijadual untuk dilaksanakan secara berperingkat bermula turut tahun ini, dan kami berharap dapat memberi impak yang lebih besar dalam pasaran," kata beliau. — The Star/NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram