Khazanah, PNB beri penjelasan penjualan saham FashionValet


  • Bizz
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Khazanah Nasional memaklumkan, pihaknya melabur sebanyak RM27 juta untuk memperoleh 9 peratus pegangan dalam FashionValet.

KHAZANAH Nasional tampil memberikan penjelasan berhubung penjualan kepentingannya terhadap Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, institusi dana kekayaan negara itu berkata, ia melabur sebanyak RM27 juta untuk memperoleh 9 peratus pegangan dalam FashionValet, platform e-dagang tempatan yang berkembang pesat menerusi lebih 400 jenama dan 15,000 produk dengan jangkaan pertumbuhan pendapatan tahunan mencapai kira-kira 60 peratus.

"Rasional pelaburan kami berpaksikan pada tema e-dagang Luar Talian ke Dalam Talian, serta komitmen untuk menyokong usahawan Malaysia dan syarikat peringkat awal yang berpotensi," ujarnya.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Bagaimanapun, syarikat itu menghadapi pelbagai cabaran diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19, yang menghalang pengembangan platformnya.

"Ini memerlukan FashionValet, di bawah bimbingan lembaga pengarah dan pemegang sahamnya, untuk mengalih tumpuan daripada menjadi platform e-dagang bagi jenama Asia Tenggara kepada mengembangkan jenama dalaman milik penuhnya, Duck dan Lilit, untuk mengekalkan margin operasi dan aliran tunai syarikat."

Selain itu, syarikat terbabit mengambil langkah untuk merasionalkan kos dan menyelaraskan operasi, namun terus bergelut mendapatkan modal di tengah-tengah iklim pengumpulan dana yang sukar dari 2022 hingga 2023.

Vivy (kiri) dan Fadzaruddin tampil memberi penjelasan berhubung isu FashionValet. Foto IG Vivyyusof

FashionValet diasaskan oleh Vivy (kiri) dan suaminya, Fadzaruddin.

Pada penghujung 2023, NXBT Partners yang diketuai oleh usahawan Malaysia berpengalaman, menawarkan untuk membeli kepentingan pemegang saham sedia ada dan memasukkan modal ke dalam FashionValet.

"Memandangkan keperluan mendesak syarikat untuk dana bagi meneruskan operasi dan hakikat bahawa pelaburan telah mencapai penghujung tempoh pegangan yang disasarkan, Khazanah mempertimbangkan dan menerima tawaran itu.

"Penjualan itu mewakili langkah keluar yang bertanggungjawab untuk memindahkan pemilikan kepada pihak yang boleh membantu membimbing syarikat ke trajektori pertumbuhan baharu," katanya.

Dalam pada itu, pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet dibuat menggunakan dana proprietari PNB dan bukan dana amanah saham di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan oleh orang awam.

PNB dalam kenyataannya menegaskan, walaupun kesal dengan kerugian yang dialami, iaitu sebanyak RM18.7 juta selepas menerima hasil jualan sebanyak RM1.3 juta, tetapi ini harus dilihat dalam konteks aset pelaburan bernilai RM337 bilion yang diuruskan oleh PNB.

Pada Selasa, Kementerian Kewangan berkata, Khazanah dan PNB telah menjual kepentingan kolektif mereka dalam FashionValet, pada harga RM3.1 juta.

Penjualan ini menandakan kerugian besar daripada RM47 juta yang telah dilaburkan oleh dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu entiti perniagaan terbabit.

Terdahulu, pasangan usahawan yang juga pengasas bersama FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tampil memohon maaf dan mengumumkan keputusan mengundur diri daripada syarikat tersebut susulan kontroversi kerugian membabitkan institusi pelaburan negara baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, pasangan itu berkata, mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan pelaburan dihadapi Khazanah Nasional dan PNB. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram