PASANGAN usahawan yang juga pengasas bersama Fashionvalet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tampil memohon maaf dan mengumumkan keputusan mengundur diri daripada syarikat tersebut susulan kontroversi kerugian membabitkan institusi pelaburan negara baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, pasangan itu berkata, mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan pelaburan dihadapi Khazanah Nasional Bhd (Khazanah Nasional) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).
"Kami mahu menyatakan dari mula bahawa kami mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk kegagalan pelaburan tersebut.
"Sebagai dua individu yang bertanggungjawab menguruskan syarikat, adalah menjadi tanggungjawab kami dan hakikatnya kami gagal memenuhi harapan pelabur.
"Kami kecewa dengan diri kami dan kesal kerana ia menjadi seperti ini. Kami benar-benar kesal," kata mereka dalam satu hantaran di Instagram pada Jumaat.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Vivy memegang tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat manakala Fadzaruddin adalah Pengarah Eksekutif Fashionvalet.
Pada Selasa, Kementerian Kewangan memaklumkan Khazanah Nasional dan PNB telah menjual kepentingan mereka di platform e-dagang fesyen pertama Malaysia, Fesyen Valet Sdn Bhd (Fashionvalet), dengan perolehan RM3.1 juta.
Jualan itu menyaksikan kedua-dua badan pelaburan dana kerajaan itu mengalami kerugian berbanding pelaburan awal mereka iaitu RM47 juta.
Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing membuat pelaburan RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Vivy dan Fadzaruddin berkata, mereka melabur dalam pembangunan teknologi syarikat sambil mengembangkan pasukan secara terlalu cepat dan menambah terlalu banyak kedai.
Katanya, langkah meningkatkan skala operasi syarikat itu dilakukan dengan jangkaan pertumbuhan, namun ia gagal membuahkan hasil ekoran pandemik Covid-19.
"Sebaik sahaja kami cuba mengurangkan kos untuk melindungi dana, (termasuk menutup platform e-dagang kami), keadaan telah sangat teruk.
"Terdapat banyak perkara yang kami ingin kami lakukan secara berbeza, begitu banyak faktor lain yang kami ingin pertimbangkan sebelum memulakan rancangan pengembangan kami," kata kenyataan itu.
Vivy dan Fadzaruddin juga memohon maaf kerana kontroversi terbabit telah menjejaskan PNB dan Khazanah.
"Mereka (PNB dan Khazanah) selalu bertindak secara profesional dan demi kepentingan organisasi mereka.
"Kami berharap kegagalan ini tidak menjadi penghalang dan mereka akan terus menyokong usahawan tempatan yang lain," ujarnya.
Pada Khamis, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa pihak terlibat untuk menangani kebimbangan orang ramai dengan segera kerana ia melibatkan dana awam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram