Bekas kontabel polis wanita, Ang Kim Choo masih bersemangat waja pada usia 102 tahun


  • 112
  • Khamis, 24 Okt 2024

Ang Kim Choo masih bertenaga dan ceria walaupun sudah berusia 102 tahun.

TUGAS sebagai anggota polis wanita bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi karier tersebut didominasi oleh golongan lelaki pada suatu ketika dahulu.

Namun, bagi seorang warga emas wanita, Ang Kim Choo, cabaran itu tidak menjadi halangan buat dirinya yang komited menjaga keamanan awam.

Menyertai pasukan polis pada 1954, beliau bukan sahaja memikul tanggungjawab besar tetapi juga memegang peranan sebagai tulang belakang keluarganya.

BACA LAGI: 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

BACA LAGI: Wira tanpa suara: Anjing perang dan pengorbanan di sebalik misi menentang komunis

Sebagai pencari nafkah tunggal yang perlu membesarkan lima anak, termasuk empat anak perempuan dan seorang anak lelaki, Kim Choo menunjukkan ketabahan luar biasa.

Kini, pada usia 102 tahun, beliau masih bertenaga, menggambarkan kekuatan jiwa yang terbina hasil dari kehidupan penuh liku dan kerja keras selama puluhan tahun.

Special constable Ang Kim Choo (left) with her colleague back in the 1950s.

Kim Choo (kiri) ketika bertugas sebagai seorang anggota polis berpangkat konstabel pada 1954.

Lebih manis lagi, Kim Choo yang kini mempunyai sembilan cicit menyambut hari kelahirannya bersama keluarga tersayang pada Selasa lalu.

Majlis sambutan hari jadinya itu turut dihadiri Pengerusi Kelab Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee dan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Melalui satu temu bual bersama The Star, Kim Choo memaklumkan kariernya yang sukar selama bertugas menjadikannya terus bersemangat.

"Kerja keras membuatkan saya terus bersemangat," katanya.

Mengimbau kembali perjalanan kariernya sebagai anggota unit beruniform, Kim Choo berkata, beliau memutuskan untuk menyertai pasukan polis kerana kesukaran hidup yang dihadapi ketika itu.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada empat wanita dalam pasukan konstabel khas.

"Antara tugas kami adalah memantau pelajar sekolah dipercayai kumpulan gangster yang tidak terkawal di sebuah sekolah.

"Mereka sangat nakal dan bergaduh sesama mereka sepanjang masa. Sebagai contoh, apabila mereka diberi makan, mereka akan membaling mangkuk itu ke lantai," katanya.

Namun, Kim Choo menjelaskan dia tidak pernah berasa tergugat dan takut dengan pelajar tersebut.

Beliau akan menghukum mereka sekiranya pelajar itu membuat masalah.

"Ada kalanya pelajar ini lari bersembunyi di dalam hutan dan saya akan keluar dan bawa mereka kembali ke sekolah," katanya.

Bercerita lanjut, kehidupan mereka sekeluarga pada ketika itu agak sukar dan untuk menjana pendapatan yang lebih, dia akan menawarkan perkhidmatan dobi dan menggilap kasut kepada rakan sekerjanya dalam pasukan itu.

Kim Choo bagaimanapun bekerja sebagai konstabel khas selama kira-kira enam tahun sebelum meninggalkan perkhidmatan itu pada 1960.

Dia kemudiannya bekerja sebagai pembantu rumah di sebuah rumah yang dimiliki oleh keluarga British dan atas kegigihannya itu, kelima-lima anak dan 12 cucunya berjaya menamatkan pengajian.

Cucu bongsunya, Ooi Yeong Boon, 35, berkata, Kim Choo menjaga semua cucunya dan mereka sangat rapat dengannya.

Menurut Yeong Boon yang juga seorang peguam, neneknya tinggal bersama anak perempuannya yang berusia 82 tahun, Yeoh Saw Gaik dan cucu di Pulau Pinang.

"Nenek saya masih memasak untuk keluarga dan aktif di rumah. Nenek juga selalu bercerita dan berkongsi kisah dirinya kepada kami," kongsinya.

Sementara itu, Lam Thye turut memuji semangat dan sumbangan Kim Choo kepada Malaysia yang disifatkan sebagai khazanah negara.

"Saya sangat kagum dengan kerjayanya. Semua rakyat Malaysia patut berbangga dengannya. Beliau adalah contoh patriotisme yang kuat orang Cina Malaysia kepada negara ini," katanya.The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram